Sunday, May 20, 2012 0 comments

Lahirnya Ukhwah Tersebut


“Seandainya engkau bertemu seorang kawan yang sanggup bersusah atas nama kesetiaan, mendahulukan atas nama kebajikan, menyimpan keaibanmu atas nama kejujuran, menegur kelemahanmu atas nama kebaikan, memendam rasa terkilan demi menjaga perasaan,
ketahuilah bahawa dia bukanlah seorang kawan tetapi seorang saudara & sahabat sejati
yang sukar di cari ganti…”

           Penat satu badan setelah hampir 2 hari berprogram bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Lebih-lebih lagi hampir 3 kali terjatuh  dan dibaling selipar terus ke kepala semasa beriadah dengan sahabat-sahabat dan sempat berusrah di dalam sungai menyemarakkan lagi semangat ukhwah fillah dengan sahabat-sahabat sekalian. Tambahan pula kita bersama-sama melaungkan kalimah keramat Doa Wehdah membuatkan mengalirnya air mata. Ya Allah, sungguh indah jika dikenangkan kembali.  Walaupun baru 6/7 jam ketika mengupdate blog ini. Bagaimana pula kenangan kita bersama sebelum-sebelum ini. Ya Allah, lagilah manis dan masih segar di ingatan.

            Tetapi, selama manakah ukhwah semalam akan berkekalan. Adakah hanya di program. Ada juga orang beritahu ketika di program berbunga-bunga ukhwah kita. Makan pun bersuap. Tidur bersama. Mandi bersama. Ukhwah ini akan sentiasa segar dan akan sentiasa membuatkan kita berasa tenang. Berbohonglah saya kalau saya katakan ukhuwah saya dengan sebahagian sahabat saya sentiasa tenang. Tidak disapa ombak atau tidak berkocak. Adakalanya ukhuwah akan selalu berbunga-bunga. Tersenyum sendirian. Subhanallah. Allah juga yang menghadirkan perasaan itu. Namun adakalanya akibat dari diri masing-masing, ukhuwah yang dahulunya mekar berbunga-bunga, bunganya akan layu. Dan bunga itu akan terus layu dan layu sekiranya tiada seorang pun yang mempunyai perasaan belas kasih untuk merawatnya, dan akhirnya bunga tersebut akan mati. Adakah bunga tersebut mempunyai peluang untuk hidup semula? Tanya doktor. Kalau ada pun, mungkin kemekaran bunga tersebut tidak secantik dan seharum dulu. Akan kelihatan perbezaan yang ketara selepas itu.


Perkenalan sekejap cuma tapi disertai dengan keikhlasan kerana ALLAh SWT, insyaAllah akan berasa sudah lama saling mengenali dan saling menyayangi. Itu adalah resepi rahsia terbuka kepada sebuah ukhuwah. Apatah lagi kalau perkenalan kita sudah bertahun-tahun lamanya, dan kita selalu ikhlas berukhwah kerana Allah. Tapi, jangan terlalu gembira dan merasa bahagia.

Ingat-ingat selalu. Syaitan tidak senang duduk apabila melihat dua orang Muslim itu menjalinkan ukhuwah kerana ALLAh. Kerana, dengan ukhuwah yang kuat, akan tercipta sebuah cetusan yang besar!

Sahabat yang baik akan cuba untuk menerima diri sahabatnya dengan seadanya. Sahabat yang baik akan cuba untuk menyukai apa yang sahabatnya suka selagi tidak salah di sisi Islam. Sahabat yang baik akan selalu tersenyum apabila menemui sahabatnya. Sahabat yang baik akan sentiasa menjaga hati sahabatnya. Sahabat yang baik akan sentiasa bersangka baik dalam apa jua keadaan, kerana bersangka baik kepada sahabat itu adalah tingkat yang paling rendah dalam hubungan persahabatan dan tingkat yang paling tinggi adalah melebihkan sahabatnya dalam apa jua keadaan. Dan sahabat yang sangat baik adalah sahabat yang tidak melupakan sahabatnya di dalam doanya kepada Rabbul ‘Izzati. Sentiasa mendoakan kesejahteraan sahabatnya di dunia dan akhirat.

Saya, kalau masuk syurga, saya akan tarik tangan kawan saya walau apapun yang terjadi. Saya, kalau ditakdirkan Allah dengan sifat Pengasih-Nya dimasukkan ke neraka, saya takkan menyentuh tangan sahabat saya hatta memandangnya pun saya tidak akan. Kerana saya tahu, sahabat saya akan sedih melihat saya.

Menuturkan ayat ingin berjumpa dengan sahabat-sahabat saya di akhirat kelak, akan membuatkan hati saya menjadi sangat-sangat sebak. Apakah mungkin saya dan mereka bisa ketemu? Ingin menjadi jiran mereka di syurga. Apakah saya mampu?

Mekarnya ukhuwah sesama manusia itu adalah mekarnya dan berbunganya ukhuwah dan kasih-sayang yang kita serahkan kepada Allah. Jika hubungan dengan Allah sudah retak, apakah hubungan sesama manusia akan menjadi sangat manis? Adakalanya, Allah mungkin datangkan dugaan kepada sebuah persahabatan untuk melihat sejauh mana ukhuwah yang dimaksudkan kerana Allah.

Dalam ujian itu, ada yang berjaya. Tidak kurang juga yang kecundang. Dan saya, tidak mahu menjadi golongan yang kecundang dalam persahabatan. Dan tidak mahu juga ukhwah hanyalah di Program sahaja. Saya mahukan ukhwah ini berkekalan hingga ke akhirat. InsyaAllah.

Peringatan untuk diri saya sendiri. Kekuatan ukhuwah lillahi ta’ala itu sangat-sangat diperlukan dan akan menjadi suatu senjata bagi umat Islam apabila tibanya waktu dunia akan mengalami keadaan huru-hara suatu hari nanti. Persoalannya, dalam menuju masa itu yang hanya Allah SWT ketahui, eratkah hubungan kita bersatu dalam perjuangan? Tepuk dada, tanya iman!

Lahirnya kemanisan dalam berukhuwah tidak menggambarkan eratnya ukhuwah. Tetapi Lahirnya ukhwah tersebut kerana keikhlasan kepada Allah SWT. Renungkan… Wallahu’alam.
Semoga Allah merahmati.


No Response to "Lahirnya Ukhwah Tersebut"

Post a Comment


Powered By Blogger