Wednesday, January 18, 2012 0 comments

Terapi muzik pulihkan minda

Muzik adalah sesuatu yang dekat di hati manusia. Kata hikayat seribu satu malam, muzik umpama makanan bagi sesetengah orang, umpama ubat bagi sesetengah yang lain dan bagi yang lain pula ia umpama kipas.

Rasulullah SAW sendiri pun pernah suatu ketika berkata kepada Abu Musa Al-Ash’ari yang bersuara merdu: “Kamu telah dikurniakan salah satu daripada seruling Nabi Daud.” Sebagaimana yang diketahui umum, Nabi Daud memiliki suara yang amat merdu, yang menarik perhatian bukan saja manusia bahkan haiwan sekali pun, apabila baginda menyanyi. Ini bermakna bahawa Rasulullah SAW mengetahui nilai dan menghargai bunyi-bunyian yang indah.

Islam, dari segi falsafahnya menyatakan nyanyian dan muzik adalah harus, dengan syarat, bertujuan ke arah pembentukan peribadi dan sebagai tali penghubung ke arah ketaqwaan. Sebaliknya nyanyian dan muzik yang melalaikan manusia daripada melaksanakan kewajipan kepada Allah, adalah diharamkan.

Bunyi-bunyian yang indah, bukan sahaja mempunyai seni hiburan, bahkan juga terkandung di dalamnya seni terapeutik yang hebat. Siapa sangka di sebalik muzik, sebenarnya tersimpan daya penyembuh kepada kelemahan dan kesakitan yang sering kita alami?

MUZIK DAN KESIHATAN

Sejak zaman berzaman, muzik telah digunakan sebagai terapi perubatan. Ahli-ahli falsafah Greek mempercayai bahawa muzik mempunyai daya penyembuh yang utuh bagi tubuh dan jiwa. Sementara ubat-ubatan yang selalunya digunakan untuk mengurangkan simptom-simptom penyakit, tidak akan lari daripada kesan-kesan sampingan.

Aspirin contohnya, bukan sahaja berpotensi menyebabkan gastritis, malahan juga Sindrom Reye’s yang menyerang hati dan urat saraf kanak-kanak. Ubat steroid yang digunakan untuk menyembuhkan pelbagai penyakit pula mampu menjejaskan tumbesaran. Manakala, ubat-ubatan yang digunakan untuk menyembuhkan penyakitdarah tinggi pula berkait rapat dengan mati pucuk!

Kata orang, muzik boleh meresap dari telinga ke tulang. Hakikatnya, sebelum sampai ke tulang, muzik telah pun terlebih dahulu menyimpang ke jantung, paru-paru, otak dan otot. Mari kita lihat bagaimana muzik boleh meresap ke seluruh badan, seterusnya bertindak sebagai terapi perubatan!

KESEIMBANGAN ALAM DAN TUBUH BADAN

Berhadapan dengan bunyi-bunyi yang membingitkan seperti di jalan-jalan raya, kawasan pembinaan dan perindustrian, pasar dan sebagainya adalah sesuatu yang tidak menyenangkan dan perlu diatasi dengan segera. Beralih kepada bunyi bersumberkan alam semulajadi adalah pilihan yang terbaik.

Mendengarkan bunyi-bunyi alam seperti unggas, air terjun dan pantai contohnya, berupaya mencetuskan respons fisiologikal dalam badan pendengar, seterusnya menyeimbangkan fungsi tubuh badan kembali kepada normal.


MENGURANGKAN KETEGANGAN, MENINGKATKAN KETENANGAN

Muzik mempunyai keupayaan tersendiri dalam mempengaruhi bahagian-bahagian otak tertentu. Dalam terapi ini, muzik bertindak dengan mempengaruhi bahagian otak yang mengawal emosi, seterusnya mengurangkan ketegangan dan meningkatkan ketenangan.

Dalam pesakit-pesakit Alzheimer contohnya, terapi muzikal berjaya mengurangkan ketegangan dan tindakan agresif mereka dengan signifikan!


MENINGKATAN KEUPAYAAN MINDA

Muzik yang menenangkan bukan sahaja memberi kerehatan kepada minda setelah penat bekerja sehari-harian, bahkan terbukti berupaya meningkatkan fungsi-fungsi kognitif seperti fungsi memori, fokus dan konsentrasi.

Kajian telah menunjukkan bahawa pelajar-pelajar yang mengambil pelajaran muzik sebagai subjek tambahan, berjaya meninggikan IQ mereka, juga meningkatkan kebolehan dalam bidang-bidang selain muzik!


MENGATASI INSOMNIA (SUKAR UNTUK TIDUR)

Terapi muzikal dengan menggunakan muzik berentak ‘binaural’ boleh merangsang minda ke peringkat bawah sedar, seterusnya membantu mengatasi insomnia. Rentak binaural adalah rentak yang mempunyai frekuensi tertentu yang telah disetkan untuk merangsang kawasan otak tertentu yang dapat membenarkan seseorang yang mengalami masalah kesukaran untuk tidur supaya dapat tidur dengan lebih cepat.


MENINGKATKAN FUNGSI KARDIOVASKULAR

Muzik ternyata memberi manfaat yang besar kepada jantung kita. Ia bertindak dengan mengurangkan tekanan darah, mengurangkan denyutan jantung dan mengurangkan ketegangan otot, seterusnya memperbaik fungsi jantung!


TERAPI JIWA

Terapi muzikal juga mampu membuka jalan ke arah pembentukan jiwa dan rohani yang mantap. Ia mendekatkan diri kita kepada Sang Pencipta Yang Maha Esa.

“Hati dan pemikiran halus adalah seumpama lombong rahsia dan khazanah batu-batu berharga. Di dalamnya terdapat jawhar seumpama percikan api yang terdapat dalam besi. Tiada jalan lain yang mengeluarkan rahsianya melainkan dengan mendengar muzik, kerana tiada jalan yang menghubungkan hati selain dari telinga, kerana sebaik saja semangat muzik menyentuh jiwa, ia menzahirkan apa saja yang menguasainya.” – Al-Ghazali.





KESIMPULAN

Generasi awal muslimin amat menghargai nilai-nilai keindahan bunyi dan rahsia-rahsia yang tersirat di sebaliknya. Maka, dari situ timbullah kekuatan, kekuatan dan ketenangan yang tiada tolok bandingnya!

“Suara yang indah menggerakkan tubuh dan mengalir ke dalam salur darah. Akibatnya darah menjadi murni, hati menjadi tenang, jiwa menjadi galak, anggota badan menjadi resah dan bergerak-gerak. Oleh sebab itu kanak-kanak tidak sepatutnya ditidurkan selepas menangis melainkan dengan muzik dan nyanyian.” – Muhammad Ibnu Abd Rabbihi.

Sudahkah kesihatan fizikal, mental dan spiritual anda bertambah dengan terapi muzikal di atas?

No Response to "Terapi muzik pulihkan minda"

Post a Comment


Powered By Blogger