Thursday, September 5, 2013 0 comments

Kisah Khilafah Umar al-Khattab bersama Anaknya

Suatu hari anak Khalifah Umar al-Khattab pulang dari sekolah dengan menangis teresak-esak. Ketika ditanya oleh ayahnya, ia menjawab bahawa teman-temannya di tempat pengajiannya menghina bajunya yang penuh dgn tampalan. Di antara mereka mengatakan, “Hai kawan-kawan, perhatikan berapa jumlah tampalan budak ini!” Ia menjadi bahan ketawa teman-temannya, amatlah sedih hatinya.



Pola hidup keluarga Khalifah Umar memang sederhana, teramat sederhana. Walaupun berjawatan sebagai khalifah, tampalannya bajunya ada empat belas. Salah satunya ditampal dengan kulit kayu.

Tibalah suatu hari apabila Umar al-Khattab berhajat utk membelikan pakaian baru utk anaknya di bulan Syawal, kerana ketiadaan wang pergilah Umar ke Baitulmal untuk meminjam beberapa dirham untuk membeli pakaian tersebut . Kerana tidak bertemu Saidina Umar dengan bendahara Baitulmal, beliau meninggalkan sepucuk surat, isinya sebagai berikut…

“Kepada bendahara Baitulmal yang terhormat saya memohon pinjaman sebesar empat dirham. Insya-Allah pada awal bulan depan, setelah pembahagian gaji dari Baitulmal, saya akan segera melunasinya.”
Si bendahara tidak langsung cemas setelah menerima surat dari Khalifah. Dia juga tidak cepat-cepat mengambil wang dari Baitulmal lalu mengirimnya kepada Khalifah. Dia mengamati surat itu sangat lama. Dia mengetahui bahawa pemimpinnya itu bukan sejenis penguasa yang memanfaatkan amanat rakyat untuk kepentingan peribadinya. Saidina Umar bin Khattab R.A dikenali sebagai pemimpin yang adil dan tegas. Bukan saja dia adil terhadap rakyat sekitarnya, beliau juga bersikap adil terhadap anak-anaknya dan dirinya. Apabila dirinya terbukti salah dalam menjalankan amanat Allah, dia rela dihukum dan didenda walaupun dia mampu menolak penghukuman tersebut kerana jawatannya. Apabila dia dihadapkan kepada dua kepentingan, kepentingan si anak dan kepentingan Islam, maka dia akan mendahulukan kepentingan agamanya. Sifat Umar al-Khattab seperti ini sudah umum diketahui oleh rakyatnya, tidak terkecuali si bendahara Baitulmal ini. Si bendahara menjawab surat Khalifah dalam bentuk sebuah pertanyaan…

Kepada Amir al-Mukminin Umar bin Khattab,
“Telah saya baca surat anda tentang permohonan pinjaman dari wang Baitulmal. Aku sekadar ingin bertanya, apakah Tuan berani bahawa diri Tuan pasti tetap hidup sampai akhir bulan sehingga aku dapat menuntut hutang Baitulmal dari Tuan? seandainya ajal menjemput Tuan sebelum bulan ini berakhir, apakah Tuan mampu mempertanggungjawabkanya di hadapan Allah? Wasalam.”

Selesai membaca surat balasan dari pejabat Baitulmal, Khalifah Umar merasa amat sedih kerana tidak mampu melunasi hajatnya untuk membeli baju baru untuk anaknya. Setibanya Hari Raya, Umar al-Khattab melihat anaknya memakai baju yang bertampal-tampal dan beliau terus menangis, “Mengapa engkau menangis, wahai ayahku?” tanya anaknya. Umar menjawab, “Aku bimbang hatimu sedih di Hari Raya apabila kawan-kawanmu menghina bajumu yang bertampal-tampal itu.” Kemudian anaknya berkata, “Seharusnya yang harus bersedih itu ialah orang yang tidak mendapat keredhaan Allah dan menderhakai kedua orang tuanya. Sesungguhnya aku berharap agar Allah Azza wa Jalla memberikan redha-Nya kepadaku sebab keredhaanmu kepadaku”. Semakin deras air mata Khalifah Umar mengalir apabila mendengar kata-kata anaknya dan beliau terus memeluknya dan mendoakannya.


Adakah sejarah ini diambil pengiktibaran oleh sang pemerintah di akhir zaman ini? Kita tengok sendiri dan buat nilaian. Ulas panjang pun tidak guna! 



Tuesday, September 3, 2013 0 comments

Available Vs. Busy Status


4 December 2012, Satu tarikh yang agak lama untuk dinilai kembali. Tarikh terakhir saya menulis entry yang bertajuk "Let's Connection always Enabled". Kini sudah 4 September 2013, berbalik kepada masa yang lama berlalu, pelbagai isu yang telah berlaku sama ada di dalam negara atau di luar negara.

Dalam tempoh hampir setahun ini, banyak perubahan yang telah berlaku samaada diri-sendiri, masyarakat dan negara. Dulu status diri ini sebagai mahasiswa. Sekarang telah menjejaki alam pekerjaan. Dulu status negeri Kedah yang dikuasai Kerajaan Pakatan Rakyat, Sekarang telah dikuasai oleh Barisan Nasional. Dulu Negara Mesir telah berjaya melangkah ke era kebangkitan Islam apabila berjaya menjatuhkan kepimpinan Hosni Mubarak sebagai pendokong sekularisme dan menaikkan Dr. Muhammad Mursi sebagai Presiden Mesir yang juga daripada pimpinan Ikhwan Muslimin, Sekarang sekularisme telah mengambil alih pemerintahan dan kini dikuasai Kudeta yang zalim. Dan banyak lagi perkara-perkara besar yang berlaku dan ianya hanya diambil daripada beberapa bulan lepas iaitu dalam tempoh saya tidak berkesempatan mengupdate blog ini.

Jika difikirkan balik, sudah banyak isu yang terlepas untuk kita ambil ibrah dan pengajaran daripadanya untuk dikongsi melalui blog ini. Memang kini tidak dapat dinafikan bukan hanya blog sebagai platform untuk perkembangan minda kita dalam menterjemah sesuatu isu. Pelbagai platform yang lain dilihat telah mengambil alih fungsi blog itu sendiri. Seperti Whatsapp, Facebook, Twitter dan banyak lagi platform yang telah menjadi alat untuk manusia menterjemah sesuatu isu. Saya sendiri sedar, blogger ini agak ketinggalan berbanding yang lain. Tetapi ianya tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja kerana sesiapa sahaja boleh manfaat daripadanya.

Manusia semakin cepat mendapat berita, tidak sampai seminit berita itu akan tersebar di seluruh dunia. Tidak perlu untuk menunggu jam 8.00 malam untuk menonton Buletin Utama, perlu ada handphone yang boleh melayari internet dan akaun FB sahaja, anda boleh mencapai setiap isu dengan mudah dan cepat. Itu tidak termasuk anda mempunyai Twitter, Whatsapp, Line, WeChat dan lain-lain. Maklumat sangat mudah tersebar sekarang.

Cuma untuk setiap isu atau maklumat yang kita dapat, kadang-kadang ianya belum shahih dan berkemungkinan ianya adalah palsu. Itu adalah perkara yang sering menjadi kepercayaan kita yang utama tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Firman Allah SWT  yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman, Jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpa sesuatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
Al Hujurat: Ayat 6.


Kini kita berdepan dengan situasi tersebut. Pentaksiran maklumat yang tepat dan palsu sangat penting lebih-lebih lagi pada dunia tanpa sempadan ini. Marilah kita bersama-sama kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang difirmankan Allah SWT tadi. InsyaAllah.

Muhasabah Diri.

Sorry..I'm longer not available here~
I'm Busy. InsyaAllah from now, be Available.





Tuesday, December 4, 2012 0 comments

Let’s “Connection” always Enabled

Kita sentiasa dapat merasakan diri sebagai anak kepada seorang ibu bukan? Sekiranya kita mempunyai suami/isteri, kita sentiasa merasakan suami kepada seorang isteri atau isteri kepada seorang suami. Perasaan ini tidak akan dapat kita lepaskan ... sentiasa merasainya pada setiap ketika.

Bagaimana dengan perasaan merasakan diri seorang hamba kepada Allah? Rasa berketuhanan seperti kita merasakan kita bersuami, kita beristeri. Apakah perasaan ini dapat kita rasakan setiap waktu dan ketika juga?
Sekarang bayangkan kita berjalan bersama seseorang, katakan kita berjalan bersama sahabat kita. Pada ketika kita berjalan, ketika kita berada di hadapan, kita dapat merasai bahawa sahabat kita ada di belakang kita bukan? Kita sentiasa merasai kehadiran sahabat kita itu. tidak akan terlepas rasa itu. Apabila kita ke kedai bersama contohnya, ketika kita asyik memilih barangan yang hendak dibeli, kita toleh ke kiri ke kanan melihat di mana teman yang bersama kita. Kita merasakan kehadirannya. Bagaimana dengan kehadiran Allah dalam diri kita? dapatkah kita rasakan? Padahal Allah dulu yang bersama kita sejak kita masih dalam kandungan ibu sampai sekarang. Padahal Allah yang sentiasa ada bersama dan tidak pernah meninggalkan kita walau sesaat pun.

Padahal Allah yang sedang mengepam jantung kita. Allah yang sedang mengalirkan darah ke setiap tubuh kita. Dapatkah kita merasakan ada Allah bersama kita setiap waktu? dapatkan kita merasakan aku hamba Allah setiap ketika? Ketika solat kita merasa 'connect' dengan Allah. Apabila ada daya yang menyambung kita kepada Allah ketika kita solat, kita akan merasakan kebahagiaan yang tidak dapat kita bandingkan dengan apa juga. Kebahagiaan yang tak tertara nikmatnya. Bayangkan sekiranya kita dapat merasa daya sambung dengan Allah itu dari mula kita bangun tidur sehingga kita tidur semula, kita mendapat kebahagiaan setiap waktu dan ketika. Kita mendapat kebahagiaan yang sebenarnya di dunia ini. Itulah yang sebenarnya dicari oleh ramai manusia, tetapi masalahnya dia gagal untuk “sambung” dengan Allah tapi “sambung” dengan selain Allah. Daya sambungan ini juga boleh dikatakan sebagai "menghadirkan hati kita dengan Allah", "mengingati Allah", "merasakan kehadiran Allah", tapi masalah yang dihadapi oleh kita bagaimana ya?

Bagaimana mengingati Allah? Bagaimana merasakan kehadiran Allah. Dengan berzikir? Maka kita bertasbih, bertahmid dan bertakbir dengan sebutan Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Namun aktiviti yang kita lakukan ternyata menjadikan kita bosan. Kita rasa penat menyebut dan memuji Allah atau fikiran kita melayang-layang kita ketika kita menyebut pujian-pujian kepada Allah. Akhirnya kita tinggalkan aktiviti itu atau tidak beristiqamah dengannya. Kenapa kita rasa penat dan membosankan padahal Allah menjanjikan bahawa dengan mengingati Allah hati akan tenang dan dengan mengingati Allah pastinya membahagiakan bukan membosankan. Pastinya kaedah kita melakukan aktiviti itu gagal menghasilkan 'mengingati Allah", gagal menghasilkan "merasakan kehadiran Allah". Sebutan kita hanya dibibir saja, apatah lagi jika yang ingin disebutnya sampai 1000 kali. Allahurabbi.
Cuba kita padamkan segala apa yang ada. Padamkan rumah kita, padamkan kereta kita, padamkan bumi ini, padamkan seluruh bulan, bintang dan alam ini, padamkan semuanya sehingga tidak ada suatu pun yang ada lagi. Apa yang tinggal? Hanya kita dan Allah bukan? Sekarang rasakan wujudnya Allah itu, rasakan hadirnya Allah itu. Jangan digunakan fikiran, jangan digunakan emosi dan perasaan. Diam dan rasakan. Kita berhadapan dengan Allah yang Maha Hidup. Pasti kita merasakan ada daya yang menyambung kita dengan Allah.
Bayangkan kita menghadap ibu kita, sungguh-sungguh kita menghadap ibu kita. Adakah kita merasakan sesuatu ? Adakah kita merasakan kehadiran ibu kita? Adakah kita merasakan ada satu daya yang menyambung antara kita dan ibu kita? Terasa bukan? Pastinya terasa berbanding kita tidak menghadap ibu kita. Dengan ibu sudah terasa, apa lagi dengan Allah, pastinya dapat merasakan jika kita benar-benar yakin kita sedang berhadapan dengan Allah.
Tundukkan wajah kita, diam dan hanya rasakan saja. Jangan difikirkan. Jangan diluahkan apa-apa perasaan kepada Allah (kerana kita tidak mahu memasuki wilayah emosi, kita mahu memasuki wilayah spiritual) jangan dikatakan apa-apa pun. Diam dan rasakan hubungan itu.
Kita akan merasakan suatu suasana perasaan 'sambung' dengan Allah dan perlahan-lahan sebutkan Allah ... Lailahaillallah, Allahuakbar dan sebutan-sebutan memuji Allah yang lain ... rasa 'sambung' ini biasanya akan memberi kesan kepada fizikal dan perasaan kita. Ada yang rasa bergetar, ada yang rasa merinding, ada yang rasa ingin menangis, yang pentingnya bukan rasa difizikalnya tapi rasa dekatnya dengan Allah.
Rasa kehadiran Allah itu. Kemudian akan terasa dialirkan ketenangan di dalam jiwa, hilang apa juga tekanan. InsyaAllah kita akan rasakan kebahagiaan dan rasa berketuhanan. Latihan merasakan hubungan dengan Allah dan rasa berketuhanan ini Allah kukuhkan melalui ibadah-ibadah dalam rukun Islam yang lima, Mengucapkan Dua Kalimah Syahadah, Solat, Puasa, Zakat dan Haji. Sudah berapa ramai di kalangan kita merasakan sudah cukup melakukan semua rukun Islam tapi masih belum dapat merasakan hidup berketuhanan, belum dapat merasakan aku hamba Allah setiap waktu dan ketika, masih belum dapat merasakan kehadiran Allah dalam diri, masih belum mencapai tahap takwa kepada Allah.
Allah berfirman di dalam Al-Qur'an yang maksudnya; "Diwajibkan di atas kamu berpuasa seperti mana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertakwa" Sudah berapa lama kita berpuasa di bulan Ramadhan tapi kenapa sampai sekarang merasakan diri belum bertakwa padahal Allah menyebutkan bahawa Puasa di Bulan Ramadhan itu hasilnya takwa Justeru harus kita teliti di mana silapnya latihan pengukuhan yang Allah siapkan untuk kita di dalam Rukun Islam Yang Lima ini. Ibadah kita tidak kita lakukan dengan rasa Ihsan. Bukankah itu yang diajarkan Rasulullah saw. Ihsan itu ertinya kita beribadah seolah-olah kita merasakan melihat Allah dan sekiranya kita tidak dapat merasa melihat Allah kita dapat merasakan Allah melihat kita.

Jom semak semula, solat kita, puasa kita, zakat kita, haji kita adakah kita melakukan ibadah dengan rasa 'sambung' atau 'sadar' kehadiran Allah? Itulah nikmat yang tak tertaranya.
Hidup berketuhanan ini bukan sekadar kita sentiasa merasakan hadirnya Allah dalam hidup kita tetapi merasakan kita sebagai hamba Allah dan KhalifahNya. Kita dapat merasakan dengan jelas ada amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada Allah kepada kita untuk disempurnakan di dunia ini sebelum kita dipanggil pulang nanti. Dengan rasa hadir Allah dalam diri kita, kita akan sentiasa berserah kepada Allah dan sedia tunduk dan patuh atas apa juga kehendakNya.
Ketundukan dan kepatuhan ini insyaAllah tidak sukar apabila Allah yang akan meletakkan kehendakNya ke dalam hati kita ... Segalanya dibimbing Allah insyaAllah dengan syarat kita sentiasa mencari jalan menuju Allah, sentiasa berusaha menyucikan jiwa kita.
"Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah bagi orang yang mensucikannya Dan merugilah bagi yang mengotorinya "(Asy -Syams: 7 - 8)
Semoga kita dapat sentiasa merasakan sambung dengan Allah dalam apa juga keadaan dan pada setiap waktu dan ketika. Sentiasa bersungguh-sungguh memenuhi tugas dan tanggungjawab sebagai wakil Allah dimuka bumi ini. InsyaAllah kita akan meninggalkan segala keresahan, segala kegelisahan dan menemukan kebahgiaan yang berpanjangan apabila merasai hidup berketuhanan.Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
Let’s “Connection” Always Enabled