Thursday, February 2, 2012 0 comments

Maulidur Rasul Pada Penghayatan Sebenar

Assalamualaikum sahabat-sahabat sekalian

Pagi Jumaat yang hening ini saya ingin berkongsikan satu peringatan buat diri sendiri dan semua pembaca blog yang saya sayangi ini. Jika anda tidak bersetuju dengan saya buat masa sekarang. Mungkin satu hari lagi anda akan mengetahui hakikat bahawa tanggapan anda terhadap hari tersebut salah dan jika ianya bagi anda hanyalah untuk memenuhi program tahunan dalam kalendar masihi sahaja.

Esok 4hb Februari bersamaan 12 Rabiul awal umat Islam akan menyambut salah satu hari kebesaran dalam Islam iaitu Hari Kelahiran Nabi Muhammad SAW. Pada tarikh ini, pelbagai program-program yang akan dilakukan iaitu berarak mengalunkan berselawat ke atas Rasul sambil memegang sepanduk bagi perkhidmatan awam (kebiasaannya),sekolah-sekolah dan IPTA, stesen-stesen televisyen yang akan menyiarkan dokumentari dan drama-drama yang islamik dan ada kaitan dengan Nabi Muhammad SAW khususnya dan umat Islam amnya, ada juga jemputan ceramah dan forum perdana yang akan disampaikan oleh ustaz dan ustazah bagi menghayati perjalanan hidup Rasulullah SAW, dan banyak lagi program-program yang akan diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun, dan yang terkini kebiasaan orang lakukan iaitu meng’update’ status facebook berkaitan dengan Maulidur Rasul bagi meraikan perayaan tersebut, dan ada juga yang mengadakan Konsert Maulidur Rasul juga yang menyajikan artis-artis popular tanah air..

Bagus. Teruskan segala program seperti itu bagi mengingati Rasulullah SAW. Rasulullah sendiri bersabda yang selalu didengari dalam khutbah dan salah satu rukun bagi khutbah Jumaat:

“Sesiapa yang berselawat keatasku dengan satu selawat, akan tercatat baginya sepuluh kebaikan” (Hadis Riwayat Ahmad)

Jika niat kita menganjurkan program tersebut ikhlas untuk mengingati Rasulullah SAW, akan ada ganjaran yang telah dijanjikan Allah SWT bagi hambaNya. Tetapi jikalau dalam satu hari sahaja dalam masa setahun kita mengingati Nabi SAW. Nothing to say laa…Itupun kalau program yang dibuatnya hanya memenuhi program tahunan dan tiada sedikitpun penghayatan sebenar sebagai umat Nabi SAW. Allahurrabi.

Sebenarnya Islam menganjurkan untuk selalu mengingati Nabi SAW bukan pada satu hari itu sahaja. Memanglah 12 Rabiul Awal tersebut adalah tarikh kelahiran Rasulullah SAW, tetapi bukannya satu hari sahaja untuk kita mengingati baginda. Sepatutnya kita mengingatinya setiap masa. Apa maksud penghayatan sebenar Maulidur Rasul, Adakah hanya kita berarak-arak mengalunkan selawat sambil pegang sepanduk telah membuktikan penghayatan kita? Cara terbaik untuk kita menghayati sepenuhnya perjalanan Rasulullah SAW ialah dengan mengkaji sirah Nabi SAW. Bagaimanakah perjalanan hidup Nabi SAW? Yang penting dan pokok pangkalnya mesti ke arah penghayatan kepada syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Kalau sekadar perarakan semata-mata sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan, kemudian selepas itu tidak ada langsung penghayatan dan mereka juga mengambil langkah meninggalkan syariat dari sudut perundangan, mahkamah, pendidikan, akhlak , budaya yang dilihat terlalu jauh dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Sambutan yang seumpama ini tidak memberi faedah kepada umat Islam bahkan ia akan lebih membawa fitnah yang banyak. Misalnya masyararakat non-muslim yang kita tahu yang mereka tidak faham agama Islam yang syumul itu, akan pandang serong.


Jadi apabila non-muslim lihat kononnya kita ini kuat dari segi menyambut Maulidur Rasul sekaligus akan menganggap Islam itu sempurna. Sedangkan mereka juga sedar rasuah pun banyak berlaku, penyalahgunaan kuasa, sistem kehakiman pun cacat, dasar pendidikan pun cacat dan bermacam-macam lagi. Apa yang penting sekarang, bagi memastikan Maulidur Rasul pada Penghayatan sebenar. Bukan hanya mengira kulitnya sahaja, perlu untuk sampai ke isi. Maksudnya bukan hanya sekadar berprogram sahaja, perlu kepada penghayatan yang sebenarnya untuk memahamkan kita tentang kehidupan dan pensyariatan Rasulullah SAW. Persoalan aqidah yang paling penting untuk memastikan manusia tidak hanya memikirkan masalah remeh-temeh dalam agama.

“Pokok tidak akan mati jika kumbang menyerang pada hujung-hujung daun tersebut, tetapi pokok akan mati jika kumbang menyelinap masuk ke dalam akar pokok tersebut, lama-kelamaan pokok tersebut akan tumbang juga”

Dalam soal pemantapan ilmu dan aqidah ini, perlunya memperbanyakan program ilmiah seperti ceramah dan forum untuk memastikan ‘ isi’ Maulidur Rasul itu sampai kepada masyarakat. Perlu ada usaha untuk menyampaikan bahawa pensyariatan yang dibawa oleh Nabi SAW perlu kita utamakan berbanding peraturan-peraturan yang lain. Dan yang paling penting, perlu untuk kita mengingati Rasulullah setiap hari dengan mengamalkan Matsuratnya dan berselawat keatasnya, mengkaji Al-Quran dan hadis-hadisnya serta mengikuti segala sunah-sunah baginda. Itulah kecintaan dan penghayatan yang sebenar kita kepada Rasulullah SAW.


No Response to "Maulidur Rasul Pada Penghayatan Sebenar"

Post a Comment


Powered By Blogger