Saturday, December 31, 2011 0 comments

Kenyataan Media Rasmi : ISIUKM Mengutuk Tindakan Kejam Polis




Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) secara keras mengutuk dan mengecam tindakan tidak perikemanusiaan pihak polis dan keselamatan yang membelasah sekumpulan mahasiswa yang berhimpun di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi menuntut pengguguran dakwaan terhadap Adam Adli semalam.

Difahamkan, pihak polis telah membelasah secara teruk sekumpulan mahasiswa ketika mengarahkan mereka bersurai daripada meneruskan himpunan tersebut. Tindakan kejam polis telah menyebabkan Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), Saudara Muhammad Safwan bin Anang yang juga merangkap Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) cedera parah sehingga koma dan mendapat rawatan di Unit Penjagaan Rapi (ICU) di Hospital Slim River Perak.

Selain Safwan, beberapa orang mahasiswa lain turut dibelsah sehingga terpaksa menerima rawatan jahitan di kepala akibat dipukul dengan objek keras.
Selain itu, tindakan luar biasa pihak polis memberkas dan menahan 17 orang aktivis mahasiswa lain ke dalam lokap bagi meneruskan siasatan atas tuduhan terlibat dalam perhimpunan tersebut turut dikecam keras kerana telah melanggari hak kebebasan berhimpun yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.

ISIUKM menyifatkan tindakan sedemikian sebagai tindakan terdesak pihak-pihak tertentu dalam menyekat dan menutup kebangkitan mahasiswa akhir-akhir ini. Kami menegaskan akan terus memberi sokongan padu kepada BEBAS dan semua aktivis mahasiswa yang telah dianayai secara kejam oleh pihak polis semalam.

ISIUKM Gesa Polis Diambil Tindakan

ISIUKM menggesa pihak bertanggungjawab agar mengambil tindakan terhadap sekumpulan polis yang telah bertindak ganas terhadap mahasiswa yang berhimpun semalam. Kami menggesa agar pihak kerajaan yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Razak agar memandang isu ini dengan serius dan mengambil tindakan segera agar masyarakat tidak hilang kepercayaan kepada pihak keselamatan iaitu PDRM selepas ini.
ISIUKM turut mendesak dan menunggu respon yang proaktif dari Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar Rabu terhadap anggotanya yang terlibat dalam menyuraikan perhimpunan semalam dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam insiden itu.

Kami turut menyeru kepada kumpulan-kumpulan NGO dan badan-badan bebas seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Majlis Peguan Negara agar campur tangan serta memainkan peranan utama supaya hak-hak mahasiswa yang telah dianayai semalam terbela.

Mahasiswa Akan Merespon Dalam PRU-13

ISIUKM menyeru kepada seluruh rakan-rakan mahasiswa untuk bertindak balas dan menunjukkan respon secara progresif kepada pihak yang memerintah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang. Kami yakin semua pihak yang terlibat dalam PRU-13 amat mengharapkan undi anak-anak muda yang terdiri dalam kalangan mahasiswa bagi memenangkan calon masing-masing.

Tindakan kejam pihak polis dan kegagalan pihak kerajaan untuk mengambil pendirian dan tindakan serius bagi menangani kumpulan polis yang bertindak kejam semalam hanya akan mengundang ketidakpercayaan anak-anak muda terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Kami amat yakin, mahasiswa dan anak-anak muda sudah bijak menilai kebenaran. Tindakan tidak mesra mahasiswa dan kegagalan pihak memerintah untuk mendengar suara mahasiswa akan menjadi faktor utama anak-anak muda untuk memilih pihak yang akan menerajui Putrajaya akan datang.

“Bersama Melangkah Menginspirasi Ummah”
“GAMIS, Inspirasi Anak Muda”

Muhammad Hafizan bin Abd Hamid
Presiden ISIUKM merangkap SU Agong GAMIS

No Response to "Kenyataan Media Rasmi : ISIUKM Mengutuk Tindakan Kejam Polis"

Post a Comment


Powered By Blogger