Monday, May 16, 2011 0 comments

Abahku seorang Guru

Aku masih ingat ketika aku masih di bangku tadika (kini telah ditukar nama menjadi KEMAS)di sebuah kampung kecil di pinggir Bandar Kuala Terengganu, iaitu Kampung Pulau Duyung(kini menjadi pusat pelayaran perahu layar sedunia yang diilhamkan oleh Pak Lah). Aku masih tidak faham lagi apa erti kehidupan sebenar. Belajar mengeja dan mengira adalah subjek pertama aku di tadika. Aku berlatih menyebut A,B,C,D..Alif,Ba,Ta,Sa...1,2,3,4,5.....walaupun aku tidak faham apa yang aku terpaksa ikut apa yang cikgu suruh dan banyak lagi ilmu asas-asas kehidupan yang aku belajar ketika itu. Aku diajar untuk menghafaz doa-doa ,diajar menyanyi, dan dibawa ke taman permainan. Dan dikelilingi aku ada rakan-rakan yang setia bermain bersamaku. Sehinggakan setiap hari baju kecil merah petakku bertukar menjadi coklat. Aku masih ingat cikgu tadikaku melarang aku dan rakan-rakan yang lain supaya jangan pergi jauh daripada kawasan tadika. Maklumlah,Tadika hanyalah berjarak 100 meter daripada sungai Terengganu. Aku masih ingat ada seorang sahabat sebaya denganku ketika di tadika dahulu yang dikatakan top list budak yang paling degil bermain-main lumpur di tepi sungai akhirnya terperangkap di dalam lumpur di tepi sungai. Aku masih tidak lupa akan peristiwa tersebut. Tepat jam 12.00 tengahari. Abahku datang ke tadikaku untuk mengambil aku. Aku pun pergi bersama abahku berjalan kaki meninggalkan tempat dimana menjadi taman untuk aku belajar dan bermain. Aku dibawa ke sekolah rendah dimana tempat abahku bekerja berdekatan dengan tadikaku tadi.

Abahku adalah seorang guru dan dikenali oleh semua pelajar dan rakan sekerja dengan panggilan Cikgu Rusli. Di sekolah,abahku mengajar subjek bahasa Inggeris dan subjek Pendidikan Jasmani. Aku dibawa masuk oleh abahku ke dalam kelas yang abahku mengajar iaitu kelas 2 Cerdik. ketika itu, kakak-kakak dan abang-abang di kelas tersebut memerhati aku dibawa masuk ke kelas tersebut. Abahku pun terus menyambung mengajar subjek bahasa Inggeris ketika itu. Aku memerhati abahku sedang mengajar. Sedikit pun aku tidak faham apa yang abahku tulis dan aku hanya duduk di kerusi guru di kelas itu tanpa mempedulikan sesiapa walaupan ada seorang kakak memanggilku. Sedar tak sedar aku pun melangkah ke sekolah rendah. Aku masih ingat ketika itu ada seorang rakan setadikaku tidak bersama-sama ke sekolah rendah ke darjah 1. Tapi dia masih di bangku tadika. Aku tidak faham keadaannya ketika itu. Pada hari pertama aku di alam persekolahan, aku tengok ramai rakan-rakanku menangis apabila ketika hari pendaftaran berlaku. Ada yang menangis memeluk ibunya kerana tidak mahu ke ditinggalkan. Ada yang duduk terdiam di atas kerusi di dalam kelas sambil diperhatikan bapanya di luar tingkap. Dan ada juga yang bersuka-ria kerana dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru. Ketika itu aku ditemani oelh abahku yang sibuk menyelesaikan urusan pendaftaranku. Akhirnya aku melangkah masuk ke dalam kelas seperti mana aku selalu masuk ketika aku masih belajar di tadika. Tapi kali ini aku melangkah masuk ke kelas atas tiket aku sebagai seorang murid darjah satu.

(gambar kenangan pengawas sekolah)

Aku masih ingat guru kelasku yang pertama Allahyarhamah Madam Fatimah (kini telah kembali ke rahmatullah) , telah meredakan kesedihan semua murid baru dengan membelai rambut dan memberitahu sesuatu supaya jangan bersedih seperti seorang ibu . setelah tamat waktu kelas, aku seperti biasa mencari jejak abahku di sekolah, kebiasaannya abahku selalu berada di bengkel kemahiran hidup sambil meraut buluhuntuk membuat wau (abahku adalah peminat wau tradisional).

(minat abahku beralih ke kapal terbang dan helikopter remote control. Sebelum ini meminati wau tradisional)

Dipendekkan cerita,semakin hari , aku semakin selesa dengan persekolahanku. Dan abahku juga telah mengajarku subjek pendidikan jasmani ketika aku di darjah 3. Pada masa itu, aku tidak pasti apakah panggilan yang sesuai aku panggil abahku ketika di dalam kelas. Adakah Aboh Atau Cikgu yang patut aku gunakan?! Aku keliru. Abahku mengajar aku untuk bersukan di padang. Kadangkala aku rasa segan dengan rakan-rakan sekelasku ketika abahku mengajar aku di dalam kelas. Untuk pengetahuan semua, abahku juga menjadi guruku ketika aku di sekolah menengah. Sempat abahku mengajar bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani di sekolah Menengah. Ketika kelas Abahku mengajar sahaja, ada sahaja rakan sekelasku menanyakan kepada abahku soalan yang tidak sepatutnya ditanya tentangku. Abahku pun cerita banyak kisah-kisah aku semasa aku kecil. Rakan-rakanku tertawakan aku. Pada masa itu, aku hanya mampu bersabar dan tidak berkata apa-apa. Di sekolah menengah juga, ada suatu hari ketika semua pelajar pergi ke surau untuk menunaikan fardhu zohor, aku dan rakan-rakan sempat untuk memancing ikan tilapia di dalam kolam berdekatan surau sebelum menunggu jemaah bersembahyang. Ketika khusyuk memancing, aku pun rasa kepedihan yang amat sangat sekelip mata di belakangku. Rupa-rupanya ustaz telah merotanku di belakang kerana masih tidak masuk ke dalam surau walaupun azan telah dilaungkan. Dan ada juga suatu ketika semasa Cikgu Zarina mengajar subjek Bahasa Melayu di dalam kelas dan aku tidak menghendahkan apa yang diajar oleh cikgu. Kemudian, Cikgu Zarina telah menegurku:

“Hillman,cikgu sangat kecewa dengan awak,dulu awak antara pelajar terbaik,tapi sekarang perangai ini awak tunjukkan kepada saya,cikgu tidak tahu apa lagi nak buat dengan awak nie” .

(Cikgu Zarina-Permulaan perubahanku)

Ketika itu,muka Cikgu Zarina berubah dan terus menyambung mengajar tanpa menghiraukan aku. Sejak itulah aku mula sedar,dan aku terus memohon maaf kepada Cikgu Zarina. Alangkah terkesannya perasaan aku apabila melihat titisan air mata jernih telah mengalir dari pipi Cikguku dan aku rasa kesalahanku terhadap Cikgu Zarina sangat besar. Akhirnya, Cikgu Zarina memaafkan aku. Itulah titik permulaan kepada perubahan aku, sehinggalah membawa aku ke medan SPM. Banyak sangat kenangan ketika di bangku persekolahan dulu. Begitu juga seperti mana sahabat-sahabat sekalian. Kalau diceritakan tidak akan sampai ke penghujung dalam masa terdekat. Dari permulaan aku mengenali ilmu di bangku tadika, meneruskan ke alam persekolahan rendah dan menengah, kesinambungan ke peringkat matrikulasi, dan kini di menara gading dan dari awalnya, aku hanya seorang budak kecil hingusan, yang tidak tahu apa-apa tentang kehidupan, belajar terus belajar, membesar terus membesar dan akhirnya kini aku bergelar mahasiswa. Semua ini adalah jasa daripada seorang insan yang bernama guru. Walaupun ada sesetengah pihak mengatakan pekerjaan perguruan ini adalah lebih rendah kedudukannya berbanding pekerjaan yang lain. Tetapi gurulah sahaja yang mencurahkan ilmu kepada orang yang lebih tinggi jawatannya dan lebih besar pendapatannya yang kini menyombongkan diri. Usah pedulikan orang yang lupa akan asal usulnya sehingga meninggikan diri. Kita kena sedar bahawa perjuangan para guru untuk memastikan anak muridnya berjaya dalam kehidupan adalah satu jihad yang besar dan tidak seharusnya diperlekehkan. Di zaman yang serba moden ini, perjalanan seorang guru lebih sukar berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana perangai dan sahsiah pelajar zaman sekarang ini yang lebih biadap dengan guru mereka. Jika dulu kita lihat dan dengar,gejala social yang dikatakan teruk di sekolah adalah seperti, ponteng kelas,merokok dan lain-lain. Kini, perkara di atas dianggap perkara biasa bagi pelajar-pelajar sekarang. Sampaikan terbuktinya teruknya sahsiah pelajar pada masa sekarang sehinggakan berani memukul gurunya sendiri . Ada juga yang merosakkan kenderaan gurunya kerana begitu marah dengan gurunya.

Ingatlah, Tanpa guru siapalah kita, hormatilah dan kasihi lah guru seperti mana kita mengasihi diri kita sendiri kerana dari situlah kita akan mendapat keberkatan dalam menimba ilmu. Ini adalah peringatan untuk diriku sendiri dan juga kepada sahabat-sahabat sekalian. Disini aku ingin menegaskan bahawa aku bangga dengan abahku sekarang kerana abahku bergelar seorang GURU........Selamat Hari Guru.....

(Abahku bersama anak muridnya, kini abahku mengajar di Sekolah Elit Terengganu,SMK Lembah Bidong)

(gambar kenangan guru SMK Saujana-Selamat hari Guru)

No Response to "Abahku seorang Guru"

Post a Comment


Powered By Blogger