Friday, June 15, 2012 0 comments

Kesempadanan antara Dua Wilayah Satu Aqidah


Assalamualaikum..

Baru selesai dua paper dan saya berjaya tunaikan janji untuk tidak mengupdate blog dalam masa yang sangat singkat untuk menumpukan sepenuhnya kepada persiapan terakhir sebelum menghadapi kertas pertama dan kedua. Tetapi naluri ini begitu rindu untuk berkongsi serba sedikit pendapat saya berkenaan dengan apa yang terjadi di dunia kini khususnya kepada saudara se-islam kita. Dalam keghairahan seluruh penduduk dunia bersorak keriangan apabila gol pasukan kesayangan mereka menembusi galang gol di liga EURO 2012. Di ketika student-student kampus menaruh harapan berjuang berhabis-habisan untuk mencurahkan segala keringat ilmu yang dipelajari dalam peperiksaan. Rata-rata orang mesti tidak berapa sedar bahawa sesuatu yang sangat darsyat sedang berlaku dalam sejarah ketamadunan manusia yang dikaitkan dengan satu istilah “penghapusan etnik yang bertauhid -LA ILAHA ILLALLAHU MUHAMMADUR RASULULLAH

            Kini di medan facebook banyak tersebarnya photo dan video yang menunjukkan pembunuhan kejam rakyat Syria yang dilakukan oleh rejim Asad Basyar dan komuniti kecil penduduk islam Rohingya di Myanmar yang dilakukan oleh Kerajaan Myanmar. Photo dan video yang sangat menyerikan. Kanak-kanak dibunuh dengan rakusnya. Ada yang dibakar, ditanam, diseksa hidup-hidup. Ada yang dipaksa melafazkan kalimah kufur sambil diseksa dengan kejam. Dan ada yang sampai terkeluar otak sehingga tiada rupa lagi wajah manusia. Allahurrabi. Sungguh kejam yang mereka lakukan terhadap umat islam.




Sangat benar sabda Nabi Saw berkaitan dengan keadaan umat Islam akhir Zaman iaitu:

Daripada Tsauban r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda; “ Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah sahabat bertanya “ Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab,” Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya,” Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati”. H.R Abu Daud

Memang benar sekarang umat islam telah diratah sedikit demi sedikit oleh musuh-musuhnya yang dulu, kini dan selamanya akan membenci islam sekaligus memusnahkan islam secara keseluruhannya. Bahkan rancangan mereka sejak dari dulu lagi sampailah hari ini nampaknya sangat berkesan dan akhirnya kini umat islam telah berada pada fasa-fasa kemuncak dimana tertanamnya dalam setiap jiwa umat islam perasaan cintakan dunia dan takutkan mati. Mereka dienakkan dengan kemewahan dunia. Dinampakkan dengan kecanggihan teknologi ciptaan barat yang memenuhi kehendak dan keinginan masing-masing. Dibahagikan kuasa pemerintahan dan sempadan negara masing-masing bagi membangunkan ekonomi dan kekayaan di negara masing-masing. Bagi memahami hakikat ini, saya sebelum ini ada mengupdate sesuatu post di medan facebook yang bertatih:

“Apa yang berlaku sekarang di Syria, negara islam yang berdekatan spt Turki, Iraq, Mesir WAJIB membantu Saudara SeIslam di Syria dari segi ketenteraan dan bekalan makanan/senjata kepada Mujahidin untuk membebaskan rakyat Syria daripada kekejaman Rejim Laknatullah Asad Basyar.
Juga dengan apa yang berlaku di Myanmar, negara islam spt Malaysia, Indonesia, Brunei juga WAJIB utk membantu saudara seislam yang dizalimi pemerintahnya…
Sebaliknya APA yang berlaku sekrang..Mana Negara TURKI,IRAQ, MESIR untuk membantu rakyat negara SYRIA??
Mana pula NEGARA MALAYSIA,INDONESIA, BRUNEI pula untuk membantu membebaskan rakyat MYANMAR??
Adakah kita tidak ambil PEDULI saudara seaqidah kita oleh kerana PERBEZAAN PEMBAHAGIAN SEMPADAN?”

            Apa yang saya ingin fokuskan adalah PERBEZAAN PEMBAHAGIAN SEMPADAN  yang telah berjaya dilakukan oleh penjajah dahulu untuk memecahbelahkan dan mengurangkan kekuatan umat Islam. Jika dipalit semula dengan sejarah, tamadun islam telah berkembang sehinggakan ¾ rantau dunia yang diketuai oleh satu Khalifah Empayar Othmaniyah yang berpusat di Turki yang pengakhiran dipimpin oleh Sultan Abdul Hamid. Detik kejatuhan khalifah terakhir ini adalah ketika pemecatan Sultan Abdul Hamid yang dirancang oleh Yahudi Laknatullah yang menggunakan identiti individu Islam sekular yang bernama Kamal Atartuk. Setelah kejatuhan khalifah, pembahagian wilayah telah dilakukan penjajah dengan melantik pemimpin yang zahirnya daripada kalangan orang Islam, tetapi jiwanya telah diracuni dengan satu pemikiran yang sama dengan penjajah. Negara yang dijajah oleh British, negara itu akan mengikut acuan British, jika negara itu dijajah Perancis, Belanda dan sebagainya, mereka akan terikut-ikut dengan budaya dan amalan yang mereka tinggalkan. Kejayaan kolonial tersebut menjajah sesuatu kawasan akan membuka peluang mereka menentukan sempadan kawasan yang menjadi hak milik penjajahan mereka. Dan selepas mereka telah berjaya memonopoli seluruhnya kekayaan sesuatu negara. Sampailah satu masa mereka melepaskan negara tersebut kepada pemimpin dikalangan rakyat negara tersebut untuk memerintah negara.


(Empayar Othmaniyah)

            Islam yang dulunya digeruni dengan kekuatan ketenteraan dan kekayaan khazanah ilmu kini tersekat dengan fahaman nasionalisme. Semangat untuk memajukan negara masing-masing. Negara akan dianggap maju apabila pertumbuhan KDNK dalam negara menunjukkan tahap tertinggi. Matawang negara pula perlu terikat dengan matawang negara Amerika yang dianggap sebagai salah sebuah negara kuasa besar yang jikanya berlaku penurunan kadar matawang negara tersebut. Matawang kita juga turut sama terjejas. Negara yang bersempadanan mempunyai kedaulatan masing-masing dan dibenarkan mengadakan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain untuk pertumbuhan ekonomi dan politik.

            Memang dari kaca mata kita, kesempadanan ini adalah suatu perkara yang terbaik untuk mengekalkan kesepaduan dan kedaulatan sesuatu negara. Tetapi jika difikirkan semula dengan kegemilangan kerajaan Islam terdahulu yang memerintah hampir ¾ rantau bumi tanpa sebarang sempadan telah merugikan seluruh umat Islam untuk terus bangkit memperjuangkan agamanya. Semangat persaudaraan seaqidah umat Islam semakin luntur di kalangan umat Islam yang berlainan sempadannya. Jika dilihat di Negara Saudi Arabia, kini untuk memasuki negara tersebut untuk menunaikan haji perlu memohon visa terlebih dahulu sebelum memasukinya. Padahal dulu mana-mana umat Islam dari wilayah yang berbeza boleh menunaikan haji bila-bila masa tanpa sebarang sekatan. Jika peperangan sedang berlaku di negara Palestin, Iraq, Arghanistan misalnya. Musibah peperangan akan dirasai oleh negara tersebut. Negara Islam lain berdiam diri tanpa sebarang bantuan ketenteraan dan pertolongan untuk membebaskan negara tersebut dari tangan penjajah. Dan akhirnya timbul istilah yang sangat popular iaitu:

“Negara aku, sempadan aku kedaulatan negara aku, negara engkau, sempadan engkau kedaulatan negara engkau, apa yang berlaku terhadap negara Engkau, aku tidak kisah! Asalkan negara aku aman dan harmoni..;) …”

            Inilah penyakit yang telah berjaya disuntik masyarakat Islam keseluruhanya. Semangat Nasionalisme yang menebal tanpa memperdulikan perihal saudara-saudara Islam yang kesusahan di negara lain. Umat Islam kini hampir 1.9 billion daripada populasi dunia. Umat Islam juga berjaya memerintah sebahagian negara di dunia yang mempunyai khazanah bumi yang melimpah ruas. Tetapi umat Islam kini dianggap bacul oleh musuh-musuh Islam kini. Umat Islam boleh memajukan negara masing-masing, tetapi mereka tidak boleh menentang dasar yang dibawa oleh negara kuasa besar seperti Amerika. Umat Islam boleh meningkatkan keluaran industri masing-masing, tetapi mereka tidak boleh memperhebatkan kemajuan senjata ketenteraan di negara mereka masing-masing. Umat Islam dilalaikan dengan hiburan yang setiap hari menikam hati-hati mereka dengan dakwat hitam dosa nestapa. Sedangkan pada masa yang sama, umat Islam yang masih berpegang dengan seruan jihad, kini berjuang berhabis-habisan menentang musuh-musuh Allah dan mengembalikan Daulah Islamiyah.

            Pembunuhan yang digambar di dalam photo dan video, jika pertama kali manusia melihat imej-imej kekejaman tersebut, mereka sering meluahkan perasaan marah dan berkata mahu melakukan sesuatu. Walau bagaimanapun, laporan-laporan kekejaman yang bertali-arus, yang tidak pernah putus-putus itu, akhirnya tidak berupaya untuk menarik perhatian mereka lagi. Semakin ramai manusia yang mati setiap hari, wanita-wanita dicabul kehormatannya, kanak-kanak sewenang-wenangnya ditembak atau kehilangan kaki setelah terpijak periuk api... Walau bagaimanapun, reaksi masyarakat ketika awal-awal konflik dan peperangan, akhirnya telah digantikan dengan sikap acuh tak acuh dan tidak ambil kisah. Apabila mereka membeli suratkhabar, mereka lebih suka membaca gosip-gosip artis berbanding berita-berita peperangan. Oleh sebab itulah, kematian manusia yang berlaku di Palestin, Chechnya, Kashmir ataupun Timur Turkistan hanya sekadar menjadi suatu "berita rutin."




Tambahan pula, propaganda-propaganda yang dicipta telah menggambarkan kebuasan manusia itu sebagai suatu perkembangan politik dan kesempadanan sahaja. Akibatnya, pembunuhan berterusan di Chechnya hanya dianggap sebagai urusan sulit pihak Rusia, apa yang berlaku di Palestin hanyalah suatu perjuangan untuk mendapatkan tanah di antara orang-orang Israel dan Palestin, dan penekanan puak Hindu dan Budha masing-masing ke atas penduduk Islam Kashmir dan Rohingya sebagai masalah yang berpunca daripada posisi strategik wilayah itu. Dan yang terbaru penyeksaan Regim Asad Basyar terhadap penduduk negara hanya pengolakan fahaman Sunni-Syiah yang mempertahankan aqidah masing-masing.

Memang benar bahawa faktor sejarah dan ekonomi memainkan peranan penting yang mencetuskan konflik-konflik tersebut. Chechnya mempunyai kepentingan ekonomi dan strategi yang penting kepada Rusia. Orang-orang Yahudi yang fanatik terus berniat untuk menawan Jerusalem dan kawasan-kawasan pendudukan Palestin yang lain sejak berabad-abad lamanya. Asad Basyar pula menentang rakyatnya yang ingin menggulingkan bagi mengekalkan kedudukan beliau. Namun demikian, faktor-faktor dalaman, politik dan ekonomi bukanlah satu-satunya penyebab kepada tekanan yang dikenakan kepada orang-orang Chechen oleh pihak komunis Rusia, ataupun kekejaman yang dilakukan kepada umat Islam di Afrika, ataupun keganasan dan proses pembersihan etnik yang dideritai oleh umat Islam di rantau Balkan dan Rohigyan yang dilakukan di hadapan mata penduduk dunia. Tetapi penyebab yang paling utama sekali telah disabdakan oleh Rasulullah SAW ketika 1400++ tahun dahulu dalam hadis yang saya nyatakan tadi.

Sebelum pengakhiran, ingin saya kongsikan Ayat-Al-Quran maksudnya:

“Mengapa kamu enggan berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita, mahupun kanak-kanak yang semuanya berdoa: "Ya Tuhan kami. Keluarkanlah kami dari negeri ini yang mempunyai penduduk yang zalim, dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu. Dan berilah kami penolong dari sisi-Mu." (An-Nisaa', 75)”

...Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan sebuah kitab yang jelas. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan yang selamat. Dan Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang dengan izin-Nya, dan menunjuk mereka ke jalan yang lurus. (Al-Maaidah, 15-16)



No Response to "Kesempadanan antara Dua Wilayah Satu Aqidah"

Post a Comment


Powered By Blogger