Wednesday, April 18, 2012 0 comments

Masa Pelajar Tahun Akhir!


Bismillahirrahmanirrahim..


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..


"Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman & mengerjakan kebaikan serta saling berpesan (menasihati) untuk kebenaran & saling menasihati dengan kesabaran." [Al-Asr (103): 1-3]


Alhamdulillah.. Saya sihat dan masih lagi dipinjamkan nyawa dan kudrat untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumiNya ini. Saya doakan antum pengunjung blog ini juga sihat wal afiat juga hendaknya. Mudah-mudahan..


Mungkin agak poyo, tetapi saya minta maaf bagi sesiapa yang setia mengunjungi teratak usang ini untuk menjenguk kalau-kalau ada pengisian baru daripada hamba yang dhoif ini. Kalau tak ada, Alhamdulillah...


InsyaAllah, melewati hari-hari pengajian di dalam semester akhir memang sangat menguji. Bagi pelajar Fakulti Sains yang diwajibkan untuk membuat projek tahun akhir yang merangkumi kerja-kerja lapangan dan kerja-kerja di dalam makmal, waktu ini memang sangat menguji ketabahan, kekuatan dalaman, kerajinan serta pengorbanan masa bagi sesetengah daripadanya [Paling teruji bagi student kerja makmal].


Kesibukan dan tahap stress itu bergantung kepada tajuk, perancangan, usaha keras, pensyarah yang memantau serta banyak faktor-faktor dalaman serta luaran yang lain.


Apa yang saya ingin tekankan dalam coretan kali ini ialah bagaimana kegagalan kita membuat perancangan serta melaksanakan perancangan yang telah dirancang boleh membenamkan kita sampai kita mengalami kesukaran bernafas pun.


Saya tidak begitu arif tentang orang lain. Tetapi insyaAllah saya kenal dengan diri saya sendiri. Tabiat buruk, tabiat kurang baik yang sangat banyak yang mana jika diri ini terlalu dimanjakan dan kehendaknya selalu benar dituruti, maka saya akan menjadi bertambah teruk dan tidak produktif.


Saya kira, ramai di antara kita yang suka menangguh-nangguhkan kerja. Ramai juga yang gagal memilih dan mengutamakan apa yang utama di dalam hidupnya.


Natijahnya menyebabkan kerja bertimbun-timbun dan menyebabkan tiba-tiba menjadi sibuk untuk menyiapkan perkara-perkara tertentu pada waktu-waktu kritikal. Padahal jika kerja tersebut dilakukan daripada awal dan tidak menunggu saat akhir, kesan tekanan yang dihadapi mungkin tidaklah terlalu hebat.


Memetik kata-kata Imam Nawawi di dalam kitab al-Majmuk. Terdapat dua nikmat yang selalu dilupakan oleh kita iaitu masa lapang dan sihat, kerana ia manusia selalu lapang dan sihat berbanding terlalu sibuk dan sakit.Namun, mungkin kerana terlalu banyak masa lapang & sihat itulah yang menyebabkan kita menjadi kurang bersyukur serta beralih fokus ke arah duniawi.


Kita 'berpoya-poya' dalam menggunakan nikmat masa lapang & waktu sihat ini dengan sewenang-wenangnya. Sebagai contohnya untuk pelajar tahun akhir seperti saya, waktu lapang yang ada dihabiskan dengan mengadap Facebook sampai mata naik pedih dan letih. Update Blog dianggap buang masa yekk!! Tak Tahu!


Masa yang lapang ini dibiarkan berlalu, padahal memang ada kerja yang sepatutnya boleh disiapkan waktu itu.


"Tak apalah... hari ni baru Isnin. Dr suruh hantar draf tu hari Jumaat."


Lalu, teruslah membazirkan masa seperti pili air bomba yang pecah. Ditakdirkan Allah, tiba-tiba hari seterusnya hari yang sepatutnya lapang yang konon-kononnya mahu dihabiskan dengan membuat kerja yang telah ditangguhkan itu, tiba-tiba sahaja menjadi sempit kerana kelas ganti tiba-tiba diadakan.


Hah! Rasakan! Sudahnya tercungap-cungap mahu menyiapkan proses typing & editing pada malam sebelum hari penghantaran draf. Tidak tidur, ponteng kuliah, gagal menghadiri program ilmiah yang telah lama dirancang kerana kegagalan menggunakan peluang, ruang serta nikmat yang Allah berikan sebelum itu.


Kita ini... hm, terutamanya diri ini.. memang tidak cerdik dalam menyusun kerja-kerja prioriti (aulawiyat). Sebab itu, perkara yang kurang penting dan prioriti kita selalu utamakan, kedepankan, dahulukan. Manakala, perkara yang prioriti, penting & segera itu kita kemudiankan.


Selepas itu, kita pun mengadu kita sibuk, kita penat, kita tak ada masa, kita terkejar-kejar masa, kita semput mengejar 'deadline' penghantaran kerja. Walhal, sebenarnya masa kita banyak. Mana mungkin masa 24 jam itu tak cukup untuk kita. Allah tahu masa 24 jam itu berpadanan dengan kita. Masa kita cukup. Cuma, kita gagal menyusun jadual kerja kita. Bagaimana pula jika Allah kurang 2 jam sahaja satu hari..Uhm…Fikir-fikirkan…


Kita terlalu bersikap 'ignorant' yakni langsung tak peduli tentang kualiti & kuantiti masa yang kita ada. Kita selalu merasakan masa itu akan selalu ada untuk kita. Padahal, masa tidak pernah menunggu kita hatta untuk satu detik pun. Sebab kita tidak nampak betapa besarnya kerugian yang kita alami akibat daripada kelalaian, kegagalan & sikap tidak ambil peduli kita.


Persoalannya, adakah kita mahu melihat sendiri buruknya akibat sikap kita itu baru hendak kita sedar? Bak kata pepatah melayu; 'apabila sudah terhantuk baru hendak terngadah'?


Mari... mari kita sama-sama buka mata. Buka minda..Disebabkan sikap kita yang macam inilah kita selalu bertangguh-tangguh juga untuk bertaubat, berhijrah serta melakukan kebaikan. Sebab kita tidak nampak betapa dekatnya hari pembalasan itu sedang berkejar ke arah kita. Kita tidak nampak betapa kita semakin laju mendekati hari perhitungan amalan itu. Sebab itu kita masih berani beralasan begini.


Firman Allah swt;
"Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling (dari akhirat)." [surah 21, al-Anbiya' : ayat 1]


Astaghfirullahal adzhim...


Untuk masa yang kian berlari laju seperti angin, hingga tidak sedar kepantasannya berlalu, adalah lebih baik kita berjaga-jaga, berhati-hati serta menghargai setiap detik yang masih bersisa untuk kita. Jangan sewenang-wenangnya menggunakan masa kita untuk perkara yang tidak berharga. Macam mana kita hendak tahu apakah kita telah menggunakan masa kita itu dengan sebaiknya?


Macam inilah...


Jika Allah tanya pada kita,


"Apa yang telah engkau buat seharian yang Aku bagi kau pinjam hari ini?"


"Ada tak kau ingat Aku? melakukan segala perkara sambil mengingatiKu..?"


"Ataupun ada tak kau merancang & melaksanakan apa-apa yang bakal memberi kebaikan kepada agamamu, atau setidak-tidaknya kepada dirimu & keluargamu...?"


"Ataupun hari ini... sehari lagi telah kau bazirkan tanpa melakukan apa-apa perkara berfaedah pun? kau biarkan hari ini berlalu tanpa mengenang sedikit pun tentang Aku, tentang rasulKu, tentang Islam...?"


Apa agaknya yang mahu kita persembahkan kepada Allah..?


Mari kita renungi kata-kata hikmah ini;


"Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan. Ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi. Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan. Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan. Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Tuhan. Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan. Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah musik yang menggetarkan hati. Ambillah waktu untuk memberi, itu adalah membuat hidup terasa bererti. Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan. Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga."


Ini link website kata-kata hikmah ini:

http://www.usim.edu.my/qusim/index.php?option=com_content&view=article&id=42&Itemid=44


Hargai masa yang kita ada. Susun jadual kerja & kesibukan kita menurut keutamaan, kepentingan & kadar segeranya. Jangan bertangguh serta hormatilah masa orang lain.


Jangan biarkan orang lain menunggu kita. Jangan biarkan kita menjadi 'pencuri' masa orang lain dengan sengaja & tanpa alasan. Boleh jadi, itu juga alasannya kita tidak diredhai Allah. Kerana dia tidak redha kita mencuri masanya.


Hal ini selalu terjadi di dalam mana-mana meeting pun. Selalu sahaja akan ada orang yang datang lambat, sangat lambat, juga samada dengan alasan ataupun tanpa alasan yang kukuh.


Coretan ini ditujukan khasnya untuk diri ini. Saya juga selalu, sangat, sering, memang khilaf & silap. Makanya, marilah kita sama-sama memperbetulkan diri..


Sesungguhnya, janganlah sampai 'sibuk' menjadi alasan yang memperdaya kita di tengah jalan menuju syurga.


InsyaAllah, setakat ini dahulu. Maafkan saya jika coretan ini tidak bermanfaat langsung bagi antum.


Allahu 'alam..



No Response to "Masa Pelajar Tahun Akhir!"

Post a Comment


Powered By Blogger