Monday, April 23, 2012 0 comments

Dimana letaknya kehebatan institusi kekeluargaan?



(Gambar Ehsan dari Majalah UKM ke-35)


Dimana letaknya kehebatan institusi kekeluargaan?


Pernah suatu ketika saya terfikir, mengapa Imam Hassan Al-Banna, di saat beliau melihat umat Islam pada 1928 dahulu semakin hanyut, maka dikaitkan dengan kegagalan institusi keluarga sebagai punca yang utama? Mengapa bukan sekolah yang utama? Mengapa bukan stesen TV yang utama? Mengapa bukan taman permainan, pusat beli-belah, pusat-pusat hiburan yang utama? kenapa mesti keluarga?


ada apa pada keluarga? Persoalan ini akhirnya membawa saya kembali melihat kepada keluarga saya yang sangat saya sayangi dan rindui, dan disitu saya temui jawapannya.


Manusia hakikatnya tidak sempurna..Sangat tidak sempurna.


Namun ada manusia yang Allah lebihkan dari yang lain, baik dari segi ilmunya, pertuturan, pergaulan, harta, jawatan..bukan kerana Allah sayangkan sebahagian dan melupakan sebahagian yang lain, namun sunnatullah ini adalah sebagai ujian, baik buat mereka yang dilebihkan atau mereka yang dikurangkan..sama ada kita mahu menjadi takabbur atau zuhud..? dan apabila dikurang, adakah kita menjadi lemah, berputus asa ataupun bersyukur?


Menjadi seorang yang punyai kelebihan mungkin bukan masalah yang besar dari sudut hubungan dengan manusia…Namun buat mereka yang mempunyai kelemahan terutama dari sudut pergaulan, pertuturan dan juga ilmu, pada pandangan manusia mereka mungkin nampak lemah, tidak berdaya melakukan sesuatu, tak hebat, tidak perlu dilayan dengan baik dan sebagainya.


Dan kerana kasihnya Allah kepada kita, dalam lemahnya kita, Allah tidak tinggalkan kita keseorangan, tewas dengan dunia kelemahan kita.


Allah hadirkan bersama kita sebuah keluarga..ada emak,abah, adik-beradik yang menerima kita siapa pun kita..Bagaimana lemah pun kita, bagaimana kurang pun kita, buruk dan baik kita, merekalah orang yang tetap berlapang dada dan membuka seluas-luasnya pintu untuk menerima kita, mencuba untuk memahami kita dalam apa jua keadaan, yang menjadi pendokong, tongkat buat kita untuk gagah melangkah mengharungi hidup kita.


Didikan emak dan abah adalah sentuhan yang berjaya membentuk seorang anak..dari seorang yang punyai banyak kelemahan, bertukar kepada seorang yang berjaya menghadapi kehidupan.


Dari seorang anak kecil yang masih tidak tahu bertatih, kepada seorang yang mampu berlari laju mencapai impian.


Dari seorang bayi yang hanya tahu menangis, kepada siapa kita sekarang, yang tahu bila masanya untuk ketawa, marah, menangis, kecewa..Ya..Siapa kita sekarang, kerana adanya mereka, kerana didikan dan sentuhan mereka.


Sentuhan kasih yang jujur, yang hanya mencari kebaikan buat putra dan putrinya yang tercinta..Apabila kita mempunyai masalah, merekalah orang yang sudi menyediakan telinga untuk mendengar dengan ikhlas, dan mereka jugalah yang akhirnya menuturkan nasihat-nasihat yang jujur, yang berbekas di jiwa.


Tidak kiralah berapa kerapnya kita ditimpa masalah, merekalah orang yang tidak pernah mengatakan tidak untuk mendengar, tiada reaksi yang lahir dari mereka untuk menyatakan kebosanan mereka untuk mendengar.


Ya!..Tidak dinafikan kadang-kadang mereka berkecil hati, kadang-kadang mereka marah, kadang-kadang mereka tidak berpuas hati, dan kadang-kadang bersedih dengan tindakan kita yang mengecewakan, namun akhirnya kerana hadirnya rasa sayang, semua perasaan itu seolah-olah hilang, luka yang ada terawat dengan sendirinya.


Bila memikirkan semua ini, saya menjadi kagum..!Sangat kagum..! Ajaibnya istilah keluarga itu..Istilah yang sangat dekat, istilah yang ada jiwa didalamnya, istilah yang apabila kita menyebutnya, yang akan mula-mula terbayang adalah kasih seorang ibu, sayang seorang ayah, mesranya kakak, abang dan adik.Dan disitu saya sedar, mengapa usrah (keluarga) itu istilah yang dipilih oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna bagi menyelamatkan umat islam pada waktu itu.


Kerana keluarga itu sendiri punyai sesuatu yang mungkin sukar didapati di sekolah, di pusat hiburan, di pusat kelas tambahan, itulah dia JIWA PADA DIDIKAN.


Dalam keluarga itu ada jiwa, yang menghidupkan didikan-didikan yang diberi..Dan kerana jiwa itu juga, ahli di dalam keluarga mengambil didikan itu sebagai praktikal diri, bukan sekadar ilmu yang didikumpulkan dari hari ke hari..Dan kerana itu jugalah pentingnya jiwa ini dalam pembentukan seorang individu muslim.


Untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu dalam agama, namun beriman dengan ilmunya..Dan disinilah letaknya kelemahan kita dalam sistem usrah itu sendiri..Sistem yang sepatutnya menjadi satu medan untuk membentuk seorang individu muslim yang sebenar, bukan setakat medan pemberian ilmu agama semata-mata.


Bagaimana peranan kita untuk membantu membentuk mutarabbi supaya bukan sekadar ilmu yang bertambah, namun dari sudut pemikiran, pandangan, diri dan pemahaman mereka juga berubah.Supaya islam itu menjadi ad-din, dipraktikkan, bukan sekadar ilmu yang kosong.


Bagaimana kita nak menjayakan sistem usrah itu sendiri sepertimana sebuah keluarga mampu mendidik ahli keluarganya..buat mereka yang bergelar murabbi, mari kita refleksi diri sebentar sejauh mana kita sudah memainkan peranan kita sebagai seorang yang membawa sistem keluarga itu sendiri.


Apabila kita berkumpul dengan mutarabbi kita, sudah benarkah hadirnya jiwa kita sepenuhnya dalam mendidik mereka, atau kita hanya sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai naqib naqibah yang dilantik?Sudahkah kita benar-benar berusaha untuk memahami jiwa mutarabbi kita, atau mereka hanyalah orang yang kita kenal sekadar dalam usrah seminggu sekali?


Sudahkah kita menunaikan tanggungjawab kita pada setiap seorang mutarabbi kita atau kita sudah terlampau melebihkan tumpuan kepada mereka yang kita rasa hebat dan layak, lalu terlupa untuk mengendahkan mereka yang nampak kekurangan pada sudut mata kita yang hina ini?


Sudahkah kita berada bersama mereka disaat mereka sedang jatuh, mencari tempat untuk meluahkan apa yang sedang mereka lalui?


Sudahkah kita memberi semangat buat mereka untuk tetap bangkit disaat kita melihat kerapnya mereka tersungkur?


Benarkah apabila kita menuturkan kata-kata nasihat, ianya hadir dari hati yang ingin membantu atau sekadar satu bukti menunjukkan kita mempunyai ilmu yang lebih berbanding mutarabbi kita?


Ya..mungkin kita sudah berjaya memberi segala ilmu yang kita ada, yang kita dapat dari daurah dan sebagainya, dan peranan usrah sebagai medan pemberian ilmu agama mungkin tidak dapat dinafikan..Namun sudah berjayakah kita menjalankan peranan di atas, peranan yang sepatutnya ada dalam sebuah institusi kekeluargaan?


Peranan dalam pembentukan jiwa, supaya usrah itu tidak menjadi medan ilmu kosong, tetapi sebagai tempat pembentukan peribadi individu..?


Persoalannya bukan “adakah kita sudah berjaya menjalankan peranan di atas”, tetapi lebih kepada adakah kita sudah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menjalankan peranan di atas?


Seorang sahabat sering berpesan,


“Dalam kerja dakwah ini kita tak boleh syok sendiri..kita tak boleh perasan kita dah buat semua benda, tapi akhirnya hasilnya kosong..kerana apa? kerana tak muntij..kita buat kerja tanpa memikirkan siapa mutarabbi kita, apa cara yang terbaik untuknya.”


Benar, dalam kita melakukan kerja-kerja dakwah ini, seorang murabbi perlu sentiasa refleksi diri..apa yang sudah dan yang belum dilakukan buat mutarabbinya..apa yang masih kurang, apa yang perlu ditingkatkan..Yaa..kita perlu sentiasa muhasabah.


Kerana kita mahu usrah itu menjadi sebenar-benar keluarga agar pembentukan individu muslim itu menjadi kenyataan..supaya usrah itu tidak gagal kerana gagalnya kita memainkan peranan yang sepatutnya, kerana kurangnya jiwa kita sebagai seorang pembawa keluarga itu sendiri..Hakikatnya didikan tanpa jiwa itu hanyalah sekadar didikan akal, yang akan gagal membentuk jiwa menjadi kuat, gagal melunturkan nafsu untuk dipimpin, dan gagal menggerakkan hati-hati yang besar untuk berjuang.


Allahu taala a’alam.



No Response to "Dimana letaknya kehebatan institusi kekeluargaan?"

Post a Comment


Powered By Blogger