Friday, August 19, 2011 0 comments

Ramadhan dengan tangisan perpisahan


SEKEJAPNYA masa berlalu, kini tinggal 11 hari lagi Ramadan akan pergi dengan seribu kenangan. Sebahagian besar daripada umat Islam akan mengiringi pemergian Ramadan dengan tangisan perpisahan dan kegembiraan kerana telah mendapat limpahan berkat bulan Ramadan.

Manakala sebahagian lagi akan menyambut Hari Raya dengan rasa penyesalan kerana gagal mendapat tawaran istimewa yang dikemukakan oleh Allah di sepanjang bulan Ramadan. Hari-hari terakhir Ramadan menjanjikan pembebasan umat Islam daripada seksaan api neraka. Di dalam sepuluh hari terakhir inilah dikatakan bahawa akan munculnya Lailatul Qadar.

" Sesungguhnya Allah melihat pada malam al-Qadar (Lailatul Qadar) kepada orang mukmin daripada umat Muhammad s.a.w. lalu dimaafkan mereka dan rahmati-Nya, melainkan 4 orang iaitu; peminum arak, penderhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan orang yang memutuskan silaturrahim. "

Lailatul Qadar ialah tetamu yang dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam. Ia merupakan tetamu yang bakal menjanjikan gandaan pahala seribu bulan bagi setiap amalan ketaatan yang dikerjakan.

Banyak riwayat telah mengesahkan bahawa Rasulullah s.a.w. memperbanyakkan ibadah dalam sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan. Baginda akan duduk beriktikaf, bermunajat dan melakukan sembahyang malam sampai bengkak-bengkak kakinya.

Rasulullah s.a.w. juga ada menyuruh para sahabat mencari Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil di sepuluh hari yang terakhir daripada bulan Ramadan. Imam Bukhari telah meriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Carilah dengan segala daya upaya Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil sepuluh hari yang terakhir daripada bulan Ramadan".

Bagaimanapun Nabi s.a.w. tidak pernah menyebut dengan secara tepat bilakah waktu sebenar Lailatul Qadar itu berlaku. Segala fakta sebenar mengenai bilakah tarikhnya itu sengaja dirahsiakan oleh Allah Taala kepada hamba-Nya.

ntara hikmah Allah merahsiakan Lailatul Qadar adalah supaya hamba-Nya beribadat pada setiap malam untuk mencarinya, menguji siapakah di kalangan hamba-Nya yang paling bersungguh-sungguh untuk mendapat keredhaan daripada-Nya, memastikan persiapan rapi dibuat setiap hari untuk menyambut tetamu yang dirinduinya itu dan menunjukkan bahawa nilai Lailatul Qadar itu terlalu mahal untuk diberi percuma kepada orang yang tidak berusaha untuk mendapatkannya.

Pada malam yang bertuah itu kita disuruh oleh Rasulullah s.a.w. supaya menghidupkannya dengan sembahyang, tilawah al-Quran, zikir, doa dan istighfar kepada Allah. Pada malam al-Qadar itu juga, doa-doa menjadi amat penting sebagai pengantaraan yang menghubungkan antara kehinaan dan kerendahan hamba dengan kemuliaan serta ketinggian Allah Taala.

Menurut Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah melihat pada malam al-Qadar (Lailatul Qadar) kepada orang mukmin daripada umat Muhammad s.a.w. lalu dimaafkan mereka dan rahmati-Nya, melainkan 4 orang iaitu; peminum arak, penderhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan orang yang memutuskan silaturrahim."

Aisyah r.a. pernah disuruh oleh Rasulullah s.a.w. supaya berdoa di malam al-Qadar dengan doa yang bermaksud: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau Tuhan yang Maha Pemaaf. Engkau menyukai kemaafan, maka maafkanlah akan daku."

Manakala Sufian al-Tsauri pula ada mengatakan: "Berdoa pada malam al-Qadar lebih aku sukai daripada sembahyang. Sesungguhnya antara doa yang memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan."

Disebabkan Lailatul Qadar menjanjikan keberkatan yang amat banyak, maka kita amat dituntut untuk mendirikan seluruh malam dengan amal ibadat kepada Allah. Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. berjaga hampir sepanjang malam kerana mencari Lailatul Qadar.

Bagi kita, merekalah contoh teladan yang sepatutnya diikuti. Bagaimanapun jika kita tidak mampu untuk Qiamullail sepenuhnya, cukuplah setakat apa yang terdaya dikerjakan.

Dalam sepotong hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Barang siapa solat Isyak dengan berjemaah, maka seolah-olah dia beribadat sebahagian malam. Dan apabila dia solat Subuh dengan berjemaah pula,maka seakan-akan dia beribadat separuh malam."

Namun begitu, bagi sesiapa yang mampu bangun di tengah malam untuk bermunajat kepada Allah, maka itulah yang sebaik-baiknya kerana pada saat itu, para malaikat sibuk meronda ke seluruh pelusuk dunia untuk bersama-sama dengan orang yang mengerjakan ibadat kepada Allah.

No Response to "Ramadhan dengan tangisan perpisahan"

Post a Comment


Powered By Blogger