Tuesday, June 21, 2011 0 comments

Masihkah kau ingat....,bingkisan untuk seorang murrabi

“Masihkah kau ingat,.......”ayat ini selalu bermain dibenak fikiranku apabila mengenangkan peristiwa lalu. Semasa kami diarah bersajak untuk memperkenalkan sahabat kami sendiri. Masih terdengar di telingaku sekarang suara ketawa semua sahabat apabila aku berpuisi, walaupun aku rasakan masa itu aku telah melakukan perkara yang sangat memalukan. Ketika itu juga aku melihat seorang murrabi tersenyum melihat gelagatku berpuisi.

Saat keadaan yang terlalu letih dan sabar dengan ujian yang menanti. Tapi kami tetap bersemangat menempuh segala rintangan yang mendatang. Tambahan pula selepas itu, kami disajikan dengan satu kuliah yang disampaikan oleh murrabi itu sendiri. Aku rasa dalam hayat aku ini, itulah kuliah yang paling mengantuk sekali pernah aku dengar. Semua sahabat rasanya banyak kali tersengut berulang kali ketika mendengar kuliah tersebut. Aku tidak ingat apa yang Ustaz syarahkan ketika itu, tapi aku ingat pada waktu itu, dengan nada suara yang rendah dan perlahan Ustaz menyampaikan kuliah. Itulah sebabnya kami sangat mengantuk ketika itu dan akhirnya semua sahabat muslimin diarah berbaring sambil mendengar kuliah yang disampaikan oleh ustaz. Tidak sampai lima minit kami terpaksa mendengar kuliah dalam keadaan berbaring. Akhirnya kami terlelap.

Aku tersedar dan aku merasakan telah lama aku terlelap tadi. Aku melihat di sekeliling, semua sahabat muslimin yang baring semua tertidur dengan berlantaikan tanah. Ada yang mengeruh dengan kuatnya. Barangkali dalam keadaan letih apabila satu hari beraktiviti lasak. Tapi pada masa itu, keadaan telah sunyi-sepi. Rasanya semua telah tidur rasanya. Tetapi aku masih mendengar suara ustaz samar-samar tengah bercakap dengan seseorang. Dengan keadaan yang tersangat sejuk dan letih,aku teruskan tidurku. Tidak lama kemudian kami dikejutkan dan selepas itu...

Setelah 2 bulan mengikuti program tersebut, aku dan beberapa sahabat senegeri pergi ke program di kemaman, Terengganu. Aku sempat bertemu dengan Ustaz di kemaman dalam keadaan Ustaz yang serba sederhana ketika itu. Aku sempat bersalaman dengan Ustaz, dan aku rasakan Ustaz sangat sibuk ketika itu. Maklumlah, orang kuat Terengganu. Selepas sahaja program tersebut. Aku tidak lagi mendengar khabar daripada Ustaz. Sampainya pada hari sabtu lepas, aku menerima mesej dari seorang sahabat mengatakan Ustaz sekarang tengah kritikal di wad ICU Hospital di Kuala Terengganu akibat kemalangan apabila pulang dari program. Doktor mengatakan harapan Ustaz untuk hidup sangat tipis kerana pendarahan yang sangat teruk di kepala dan aku difahamkan tengkorak kepala Ustaz pecah. Ada sahabat mengatakan boleh lihat darah membasahi bantal hospital dan dalam keadaan Ustaz masih koma. Aku berharap agar Ustaz kembali sembuh. Pada hari Ahad lepas, seorang sahabat ajak untuk menziarahi Ustaz di Terengganu tapi akhirnya ditunda ke Jumaat depan, tapi hari jumaat depan aku tidak dapat pergi kerana terpaksa ke Langkawi.

(gambar Ustaz sebelum kembali ke Rahmatullah-kelihatan kesan darah di tilam)

Akhirnya tepat pada pukul 6.05 petang semalam, Ustaz telah menghembuskan nafas terakhirnya di wad tersebut. Inna lilah wa inna ilayhi raji'oon......Sebak rasanya diri ini apabila menerima mesej daripada seorang sahabat mengenai perkara ini. Agak menyesal kerana tidak ke Terengganu sekarang untuk kali terakhir menatap wajah Ustaz sebelum Al- Marhum menemui Illahi. Jenazah telah dikebumikan selepas isyak malam semalam . Seorang murrabi sejati telah menemui tuhannya semalam. Banyak sekali jasa dan pengorbanan Al-Marhum untuk menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini sehinggakan sanggup meninggalkan anak dan isteri. InsyaAllah Ustaz, kami akan terus mendoakan kesejahteraan Ustaz di sana dan tidak akalupakan kenangan bersama Ustaz ketika dahulu.

Kepada Murrabiku, Allahyarham Ustaz Mad Sham Abu Bakar

No Response to "Masihkah kau ingat....,bingkisan untuk seorang murrabi"

Post a Comment


Powered By Blogger