Friday, November 30, 2012
Seringkali kita mengeluh dan mengadu, mengapa Allah tidak
habis-habis menguji kita. Malahan diberi-Nya ujian yang sama setiap kali.
Setelah satu, maka datang pula satu lagi masalah. Setelah habis dicuba dengan
ujian yang merumitkan, didatangkan pula ujian yang menyesakkan dada.
Sungguh indah
perancangan Allah dalam mentarbiyah manusia. Allah yang Maha Mengetahui menguji
manusia pada titik-titik kelemahan diri kita. Pada titik-titik yang lemah
itulah, bertubi-tubi Allah datangkan ujian kepada hamba-Nya. Di ruang-ruang
yang lemah itu Allah datangkan ujian maha berat sehingga manusia merasakan dia
tidak lagi terdaya memikulnya.
Allah menciptakan
manusia dengan kelemahan, namun Allah tidak membiarkan kita terus menerus hidup
dalam kelemahan tersebut. Maka Allah datangkan ujian bertimpa-timpa pada titik
kelemahan tersebut sebagai latihan untuk membina sebuah kekuatan.
Seseorang individu yang lemah dalam perhubungannya sesama manusia,
diuji oleh Allah dengan pelbagai masalah melibatkan hubungan sesama manusia.
Ada yang diuji dengan penceraian antara suami isteri, ada pula yang diuji
dengan pertelingkahan sesama ahli keluarga, ada yang berkelahi antara jiran
tetangga, ada pula sahabat baik yang diuji dengan perselisihan, dan ada juga
yang dikeruhkan hubungan antara pemimpin dengan mereka yang dipimpin. Malah,
ada pula pasangan yang bercerai diuji pula dengan hubungan dengan anak-anak
yang kian merenggang dan sebagainya. Dititik kelemahan itu Allah datangkan
dengan pelbagai ujian yang berat untuk ditanggung manusia.

Seseorang individu
yang lemah dalam ketaatan kepada Allah dan terjerumus ke lembah maksiat, maka
pada titik maksiat itu Allah mengujinya berulang kali. Allah mengujinya dengan
bakaran nafsu yang menyala, dan bisikan syaitan yang menggoda berkali-kali
sehingga tewas ke lembah maksiat itu. Adapun, yang cuba bertaubat dan kembali
kepada jalan Allah, namun, nafsu dan bisikan syaitan memanggil-manggil untuknya
terjun ke lembah maksiat. Maka tiap kali itulah dia tewas dan kembali ingin
bertaubat. Namun, Allah datangkan godaan demi godaan sebagai ujian sehingga
manusia tewas. Kemudian dia kembali bertaubat, namun, masih lagi Allah
mendatangkan kebaikan kepadanya sehingga hampir-hampir sahaja berputus asa
dalam kemaksiatan.
Begitu jugalah
dengan ujian-ujian Allah dari aspek kelemahan yang lain. Persoalannya,
mengapakah Allah menguji kita berulang-ulang kali pada titik kelemahan yang
sama malah bertubi-tubi Allah datangkan ujian sehingga kita hampir berputus
asa.
Rasulullah s.a.w
bersabda;
"Sekiranya Allah menginginkan kebaikan untuk seseorang itu,
Allah akan mengujinya dengan kesusahan"
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Maka, ujian yang Allah datangkan itu sebenarnya adalah untuk
memberikan kebaikan kepada kita. Allah sebenarnya ingin memberi kita kekuatan
dan menghilangkan dari kita kelemahan-kelemahan tersebut. Maka, Allah menguji
kita pada titik yang lemah itu, agar dengan ujian itu, titik lemah itu akan
menjadi salah satu kekuatan bagi individu tersebut. Allah ingin mentarbiyah
manusia untuk memperbaiki kelemahan diri, maka Allah datangkan cubaan sebagai
guru untuk mendidik. Untuk mengubah suatu kelemahan kepada kekuatan, ia
memerlukan masa dan konsistensi.
Wednesday, November 28, 2012
Hakikat Cinta dan Sayang serta perasaan kasih ada di dalam hati setiap
insan.Namun, yang membezakannya adalah cara mempamerkan perasaan itu. Ia tidak
sama bagi setiap manusia, juga berbeza antara satu bangsa dengan satu bangsa
yang lain. Namun sesuatu yang pasti, perasaan cinta dan sayang selalunya ia
dapat dilihat melalui sikap dan kata-kata. Sebuah syair arab pernah menyebut :
" Tanda-tanda cinta tidak
dapat disembunyikan oleh seseorang laksana pembawa kasturi tidak dapat
menyembunyikan keharumannya"
Perasaan sayang terletak jauh di dasar
hati, tetapi ia boleh disuburkan melalui tindakan zahir seperti melalui
kata-kata dan perlakuan yang baik. Suka untuk saya apabila memperkatakan
berkenaan tajuk ini, saya akan membawa contoh bagaimana Islam melihat CINTA dan
SAYANG ini.Pada hemat saya, perasaan cinta dan kasih sesama makhluk selain
kepada ahli keluarga dan sahabat, adalah pada ikatan perkahwinan.Hanya inilah
jalan yang Islam ajar dan tunjukkan kepada bangsa ADAM dan HAWA yang ingin
menjalinkan perasaan CINTA dan SAYANG sesama mereka.Tanpa ikatan ini, pelbagai
kerosakan moral akan berlaku.Buktinya saya bawa dari firman Allah dalam Surah
Al-Isra' ayat 32 :
"Dan
janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan
yang keji (fahisyah) dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
Allah juga ada berfirman di dalam Surah Al-Imran ayat 14, untuk
menceritakan kepada kita tentang CINTA ini:
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan
kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan
anak-pinak hartabenda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak kuda
peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang- binatang ternak serta
kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan
(ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu
Syurga).”
Tidak ada perlakuan dan kata-kata yang tepat untuk
mengungkapkan seluruh perasaan cinta seseorang terhadap orang yang dicintainya.
Lain orang., lainlah cara ungkapan dan luahan rasa cintanya. Walaupun ungkapan " Aku mencintaimu" ( I LOVE YOU ) selalu diungkapkan oleh pasangan kekasih atau
suami isteri di layar perak, namun dalam realiti kehidupan, pelbagai bentuk
sikap dan ungkapan lain digunakan untuk membawa maksud yang sama. Perhatikan
ungkapan-ungkapan ini sekadar contoh:
" Cantik Siti tengok abang pakai baju ni"
" Abang memang minat laksa, tapi
kalau Aisyah yang masak, lagilah abang berselera makan"
" Nah, abang bawa buah tangan ni untuk Fatimah dan
anak-anak"
" Hati-hati memandu ya, bang...."
Demikian antara ungkapan-ungkapan secara tidak
lansung (indirect) yang mencerminkan rasa kasih dan sayang antara suami isteri.
Namun begitu, jika mengungkapkan rasa cinta secara langsung dan terus terang
sudah menjadi budaya atau kemestian bagi sesuatu bangsa, maka tidak salah
ungkapan " Aku mencintaimu" menjadi basahan bibir suami isteri.
Dari mata akan turun ke hati.
Hal ini merupakan ungkapan yang mengambarkan
peranan mata untuk jalinan cinta. Justeru, jangan harapkan cinta akan subur
jika pasangan suami isteri selalu mengelak untuk bertentang mata bila
berbicara. Antara bukti cinta ialah adanya ingatan pada orang yang dicintai.
Malah tanda seseorang itu ingat akan sesuatu atau seseorang ialah dia selalu
menyebut-nyebutnya. Rasulullah s.a.w mengungkapkan kata-kata berikut kepada
Sayidatina Aisyah r.ha untuk mengambarkan ingatan dan perasaan sayangnya kepada
isteri baginda Sayidatina Khadijah r.ha yang telah wafat.:
" Khadijah mencintaiku
disaat aku sengsara. Khadijah beriman kepadaku pada waktu orang lain tidak
percaya dan menganggapku gila. Khadijah memberikan banyak sekali pengorbanan
untukku ketika orang lain memusuhiku. Patutkah aku melupakan perempuan seagung
itu walaupun misalnya dia bukan isteriku? Dan dia adalah isteriku dan ibu
kepada anak-anakku. “
Dalam meluah dan mempamerkan rasa cinta, batas
yang diperaturkan oleh Islam ialah perlunya ada rasa malu. Adanya perasaan malu
merupakan cermin iman di hati. Perasaan malu menghalang luahan cinta di luar
batasan. Disebabkan hilang atau kurang rasa malu, pasangan-pasangan di barat
mempamerkan rasa cinta dengan perlakuan yang tidak bermoral.
Perasaan malu juga menjadi benteng untuk imbangan
diri tatkala mengalami gelodak cinta yang tidak kesampaian. Seorang gadis yang
menyimpan rasa cinta pada seorang teruna tidak akan bertindak di luar batasan
jika ada perasaan malu di hati. Dia percaya, cinta seumpama itu hanya dapat
disuburkan melalui ikatan perkahwinan, tetapi jika bukan jodohnya, dia rela
menjadi ‘secret admirer’ kepada si teruna dan rasa cinta itu satu waktu
akan hilang dengan sendirinya bila Allah pertemukan jodohnya dengan teruna
lain. Dalam hubungan cinta antara ibu bapa dan anak-anak, cendekiawan Islam
pernah berkata:
‘Ibu lebih penyayang daripada
bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.’
Ertinya di sini, Allah Yang Maha Penyayang
memakbulkan doa orang yang penyayang jika dia berdoa untuk orang
disayanginya.Hal ini merupakan kelebihan yang dimiliki oleh wanita yang
bergelar ibu. Oleh sebab itu, bertepatanlah dikatakan bahawa doa ibu sangat
makbul. Bahkan, tidak keterlaluan untuk saya katakanan bahawa sumpah seranah
seorang ibu boleh bertukar menjadi doa !.
Dengan kekuatan cinta, seorang wanita dapat
membentuk dan mendidik anak-anaknya ke arah yang diredhai Allah. Sebaik-baik
didikan ialah yang dimulakan dengan mengajar,mentarbiyah dan mengenalkan
anak-anak kepada Allah hingga si anak dapat belajar mencintaiNYA. Tetapi belaian,
asuhan dan didikan seorang ibu tidak mencukupi sekiranya tidak disertakan
dengan doa yang berterusan. Doa adalah tanda ingatan kita kepada Pencipta. Dan
doa juga merupakan bukti cinta hamba kepada Tuhannya.
Berbalik
kepada hakikat cinta dan menyintai, jangan ditanya siapa di hati. Hati dan
cinta itu sangat luas, sangat subjektif dan sangat mendalam. Jangan berharap
menjadi "yang satu" di hati, tapi berusahalah menjadi "Nombor
Satu" dihatinya. Cinta manusia tiada yang hakiki. Ia boleh berubah dan
diuji.
Kembalikan hati kita kepada Allah.
Hati kita juga milik Allah. Kita juga boleh berubah hati bila Allah
mengkehendaki. Cuma, bercintalah dengan ikhlas dan menurut syariat. Di waktu
cinta itu masih ada, nikmatilah ia dengan sepenuh ikhlas dan tulus kerana
apabila hati itu diisi lagi atau berhenti menyintai, sekurang-kurangnya kita
pernah berkongsi sesuatu perasaaan yang indah.Perasaan yang dikongsi itu benar.
Berdoalah kepada Allah agar cinta
itu sejati, kerana apabila diuji, cinta menjadi semakin hebat dan kuat~atau
mungkin juga menjauh. Allah tidak zalim bila Dia memutuskan cinta antara dua
hati- cuma sebenarnya Allah ingin mengajarkan kita tentang sesuatu atau
mengantikannya dengan sesuatu yang lebih baik lagi.
Saturday, September 1, 2012
Assalamualaikum wbt.
“Lahirnya kerajaan penjajahan ialah untuk memperhambakan manusia dan
lahirnya kerajaan Islam pula ialah untuk membebaskan manusia dari perhambaan.”
Syukur kehadrat
Ilahi, kerana kita dikurniakan IMAN dan ISLAM yang merupakan ni'mat dan rahmat
yang amat berharga dan tiada tandinganya.
Firman Allah swt
Surah Al-Baqarah: 21-22 bermaksud:
"Wahai manusia, abdikanlah dirimu kepada Tuhanmu yang
telah menciptakan kamu dan mencipta orang-orang yang terdahulu sebelum kamu
supaya kamu bertaqwa. Dialah juga yang telah mencipta untuk kamu bumi menjadi
hamparan, dan langit sebagai binaan dan dia menurunkan daripada langit air
hujan, maka dia mengeluarkan dengannya daripada buah-buahan yang menjadi rezeki
kepada kamu. Maka janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah pada hal
kamu mengetahui."
Berdasar firman
Allah tersebut, dapatlah kita fahami bahawa apabila seluruh alam termasuk
manusia hanya mengabdikan diri kepada Allah membuktikan itu adalah tanda diri
kita sudah merdeka. Hal ini kerana, mereka tidak terikat daripada sebarang
bentuk penghambaan. Perhambaan dimana menurut segala perintah dan meninggalkan
segala laranganNya tanpa mengharapkan sesuatu daripadaNya.
Erti merdeka yang
sebenar ialah kemerdekaan yang bukan sahaja kemerdekaan jasmani sahaja tetapi
rohani turut dimerdekakan. Ini bererti iman dan seluruh sistem di dalam tanah
air itu hendaklah dimerdekakan. Ini bererti memerdekakan sebarang ketundukkan
kepada yang lain daripada Allah s.w.t.
Ketegasan dan
pendirian Islam jelas tergambar daripada kata-kata Rubie B, Amir ketika menemui
Rustam pemimpin Rom:
"Allah mengutus kami untuk mengeluarkan
sesiapa yang mahu, daripada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman
pelbagai agama kepada keadilan Islam dan daripada dunia yang sempit kepada
keluasan dunia dan akhirat."
Itulah kemerdekaan
yang sebenar, bukan sekadar kemerdekaan untuk beberapa tahun dan beberapa abad.
Kemerdekaan yang mempunyai wawasan dari dunia sehingga akhirat yang kekal abadi.

Kita melihat dunia
barat yang memperjuangkan kemerdekaan, kebebasan dan hak asasi manusia dengan
menggelarkan sistem mereka sebagai demokrasi. Sedangkan demokrasi yang menjadi
sistem mereka itu telah dipimpin oleh mereka yang berjiwa kezaliman dan mereka
sendiri yang merobek demokrasi itu sendiri.
Kita perlu
bermuhasabah, walaupun kita telah merdeka daripada penjajahan Inggeris, tetapi
dalam masa yang sama adakah pemikiran kita sudah merdeka dari pemikiran yang
negatif yang ditinggalkan oleh Inggeris?
Akhirnya, marilah
kita memahami hakikat kemerdekaan yang sebenar.
Wallhu A'lam.