Monday, February 20, 2012 0 comments

Positive is everything!


Manusia ciptaan Allah dianugerahkan sifat dan ciri yang pelbagai keistimewaannya. Sifat dan ciri inilah yang akan membentuk peribadi seseorang insan, selain menatijahkan dua sikap bertentangan arusnya iaitu positif dan negatif. Kedua-duanya sentiasa bergelut dalam jiwa manusia.


Firman Allah bermaksud : “Jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaan.” (Surah As-Syams, ayat 7-8)


Fenomena ini akan menyebabkan kita sentiasa berjihad dalam diri untuk memenangkan salah satu daripada sikap itu. Andainya sikap negatif yang dikalahkan, maka akan lahirlah manusia yang terbentuk dalam dirinya sikap positif. Jika sikap negatif yang bertakhta di jiwa, segala tindak tanduk akan menunjukkan gerak geri serta peri laku negatif.


Seperti yang disebutkan dalam surah At-Tin, ayat 4, Allah menjadikan manusia sebaik-baik makhluk yang berbekalkan sumber peribadi dan bakat semula jadi. Sumber ini dapat dirangsangkan untuk menyerlah potensi diri seseorang insan. Allah Yang Maha Pencipta telah menciptakan manusia serba lengkap fizikalnya, ditambah pula dengan anugerah akal dan minda, iaitu anugerah yang paling berharga.


Marilah kita merenung sejenak kehebatan anatomi fizikal ini. Kita mempunyai lima pancaindera; 500 jenis otak; 200 jenis tulang; 24,000 saraf pendengaran (telinga); 100 juta sel reseptor (mata); 10.5 kilometer urat saraf; 90,000 kilometer saluran darah; 1,600 gelen darah sehari yang dialirkan oleh jantung dan sebagainya.


Cuba kita hayati pula kehebatan minda kita:


  1. Boleh berfikir untuk membuat sesuatu keputusan
  2. Berupaya mencipta sesuatu idea atau barangan
  3. Mampu membuat penilaian yang baik atau buruk
  4. Mampu membuat perancangan dan pelaksanaan
  5. Bertanggungjawab ke atas segala pemikiran, perasaan dan tindakan
  6. Mampu berfikir pada kadar 800 perkataan seminit dengan setiap sel otak mempunyai kapasiti seperti suatu komputer peribadi
  7. Berupaya menampung 120 kemahiran


Walaupun kita tahu keupayaan fizikal dan minda masing-masing, kajian mendapati bahawa kita hanya menggunakan lima hingga 10 peratus daripada potensi diri masih belum lagi digunakan dan bersedia untuk diperkembangkan.


Ketahuilah bahawa fitrah insan mempunyai sifat positif dan cemerlang. Benih kecemerlangan sudah tersemai, kita cuma perlu memupuk dan membaja benih sifat positif ini agar membesar dengan subur dan seimbang. Sebenarnya, sifat positif boleh dipelajari. Malangnya pengalaman seluruh dunia menunjukkan bahawa sekitar dua peratus saja manusia yang pernahh mengikut kursus atau belajar untuk membentuk sifat cemerlang.


Tahukah anda, mengikut kajian ada hampir 95 peratus manusia di serata dunia yang berfikiran dan bersifat negatif? Kenapakah sifat negatif terpahat pada diri kita? Ini kerana sejak lahir, kita mengumpulkan beratus-ratus idea mengenai diri sama ada baik atau buruk, pandai atau bodoh, berani atau pengecut dan sebagainya. Melalui ulangan memori buruk, terngiang-ngiang ungkapan yang melukakan hati, sedikit demi sedikit kita memaparkan imej kendiri yang negatif, yang menghantui diri sepanjang hayat. Imej kendiri ini adalah palsu dan sentiasa diulang tayang dan dibisik.


Kesedaran adanya potensi dalam diri dan keupayaan untuk menjadi insan yang lebih aik adalah tanda atau bukti yang kita harus melakukan suatu reformasi dalam kehidupan. Unsur yang paling penting dalam tindakan reformasi diri ialah perubahan. Perubahan yang dimaksudkan ialah paradigma atau cara berfikir agar perlu maju. Seperti mana negara mempunyai Wawasan 2020, kita juga mesti mempunyai wawasan diri. Adakah visi dan misi seimbang dan jalankan ia dengan bersemangat untuk menghasilkan natijah yang cemerlang.


Perubahan ini memerlukan kesedaran, persetujuan dan komitmen pada diri sendiri. Bukan mudah untuk melakukan perubahan ini kerana kita cepat dan mudah berasa selesa, senang dan selamat dengan keadaan, idea, sistem, sikap dan cara yang menjadi kebiasaan dan rutin kita. Lantas kita merasakan perubahan adalah sesuatu yang menyakitkan.


Perubahan paradigma ini perlu agar dapat mengubah kebiasaan serta rutin yang tidak ada sifat berdaya saing kepada tindakan serta berfikir menurut cara yang boleh menuju kepada kecemerlangan dunia dan akhirat.


Justeru, untuk membina kecemerlangan diri ada tiga aspek yang perlu dibuat:


  • Memahami diri minda
  • Mengenali dan menganalisis sistem nilai kehidupan
  • Memilih dan membina sasaran, matlamat atau pelan tindakan kehidupan


Kesedaran mengenai potensi diri hanyalah langkah pertama untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Ketahuilah 90 peratus kejayaan kita adalah melaui sikap positif serta 10 peratus menerusi ilmu dan kebolehan. Dalam erti kata lain, faktor yang menentukan kecemerlangan ialah memilik sifat positif.


Sikap positif pula boleh terbentuk 90 peratusnya melalui mengadakan matlamat hidup, hala tuju serta strategi ke arah pencapaian matlamat kendiri. Sepuluh peratus perubahan sikap positif adalah melalui persembahan ilmu dan pengalaman. Rasulullah s.a.w. dan sahabat adalah insan yang berfikiran dan bertindak positif. Mereka yakin akan syurga yang seluas langit dan bumi yang dihias dengan pelbagai keindahan yang tidak dapat dibayangkan mata.


Walaupun pelbagai rintangan melanda, Baginda tempuhi dengan sabar dan tidak pernah putus asa. Matlamat kaum mukminin jelas yakni mencari keredhaan Allah. Wawasan mereka adalah syurga. Tindakan mereka sentiasa berhati-hati agar perintah Allah sentiasa diikuti.


Rasulullah dan sahabat contoh unggul kehidupan insan. Justeru, usah banyak bicara atau membuang masa, marilah kita terus mulakan tindakan bagi menjayakan hasrat dan cita-cita!


Orang yang cemerlang menunjukkan hasil. Orang yang gagal memberikan seribu alasan.


No Response to "Positive is everything!"

Post a Comment