Friday, January 27, 2012 0 comments

Cuti Seorang Amilin


Hampir seminggu lebih semester 1 melabuh tirainya, ramai mahasiswa berpusu-pusu pulang ke kampung untuk bersama keluarga setelah sekian lama tekun menadah ilmu di perbukitan varsiti ini. Ada juga sesetengah mahasiswa mengambil peluang untuk mencari pekerjaan sementara pada masa berbaki sebulan lebih sebelum semester 2 bermula. Ada juga berpeluang bersama-sama keluarga mengembara ke negeri atas awan bagi menimba pengalaman baru. Tetapi aku semenjak bergelar amilin ini, semua perkara di atas dianggap asing bagiku. Jika dulu cuti semester inilah masa untuk aku melepaskan segala kekalutan semasa di kampus dulu. Tetapi kini semua itu menjadi sejarah. Aku dapat merasakan cuti bagiku hanya sekejap sahaja dalam tempoh sebulan untuk aku jenguk keluargaku. Selepas itu, aku mesti selesaikan perkara yang belum aku diselesaikan lagi.


Dengan diberikan amanah bekerja untuk islam. Aku merasakan diriku kini mudah diurus. Walaupun dengan 24 jam diberikan dalam masa seharian. Aku bersyukur kerana sebahagian masaku terisi untuk bergerak kerja islam. Tetapi itu tidak cukup, seperti orang kata sepenuh masa lebih baik daripada sebahagian masa sahaja. Rasanya aku belum kesempatan lagi untuk bergelar amilin sepenuh masa. Dari pagi hingga ke malam diisi untuk kemanfaatan ummah. Mungkin pada sesetengah ketika sahaja mungkin aku layak bergelar amilin sepenuh masa. Itupun kalau ada program. Teringat seorang ustaz yang menceritakan ketika mana pada satu hari sehari suntuk masanya dihabiskan untuk islam. Dari pagi, terpaksa meninggalkan keluarga untuk menyampaikan ilmu kepada amilin-amilin muda, berganjak ke satu tempat ke satu tempat yang lain, dari subuh hingga ke zohor, dari zohor hingga ke asar, dari asar hingga ke maghrib, dari maghrib hingga ke isyak. Malam itu barulah berjumpa dengan anak isteri setelah sehari suntuk mengembara di perdasaran anak-anak muda yang cintakan ilmu. Jubah pun tidak tersalin. Allahurrabi.


Ada juga cerita dimana nampaknya kecemburuan masa terhadap para-para amilin ini, keluarga boleh diibaratkan seperti ‘touch n go’. Pulang ke rumah, sapa dan salam. Selepas itu terus pergi ke medan masyarakat. Ada yang lebih hebat lagi untuk para amilin ini, keluarga boleh diibaratkan seperti ‘smart tag’ . Pulang ke rumah dan dapat tengok sekejap sahaja keluarga sebagai syarat sebagai ketua keluarga sudah cukup untuk para amilin ini. Bagaimana pula jika ditakdirkan pada hari itu, kita diketemukan ajal semasa dalam perjalanan dan semasa giat bergerak kerja sehari suntuk. Dalam hati kita ketika itu hanya ingat Allah dan Rasul sahaja. Itulah cita-cita yang paling utama sebagai tiket syahid di sisi Tuhannya.


Lihatlah, bahawasanya Allah Maha Adil dalam urusan hambanya. Ganjaran kebaikan yang dibalasNya di akhirat nanti kepada hambaNya akan berbeza-berbeza. Semuanya bergantung kepada kadar amal dan ibadah yang dilakukan hambaNya. Bayangkan jika sebahagian hambaNya yang bukan sahaja yang melakukan amal soleh dan beribadah kepadaNya, tetapi termasuk juga dalam golongan amilin yang ikhlas bergerak kerja untuk memastikan kalimah tauhid berada di puncak yang tinggi. Janji Allah adalah benar. Semua penat lelah dan darah tersebut akan menjadi bukti di hadapanNya untuk menjadi saksi pergorbanan untuk menegakkan agamaNya.


Sebelum pengakhiran, ingin aku mengingati diriku dan diri sahabat dengan sepotong hadis Rasulullah SAW.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Setiap hamba pada hari kiamat tidak akan mengorak langkah menuju ke mana-mana selagi dia belum selesai ditanya tentang empat perkara:

Pertama: tentang umurnya dimanakan dihabiskan sewaktu di dunia dahulu?

Kedua: Masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu?

Ketiga: Tentang harta, dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya?

Keempat: Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmu itu?”

(Hadis Riwayat Muaz bin Jabal r.a)


No Response to "Cuti Seorang Amilin"

Post a Comment


Powered By Blogger